Siakap Keli
keadaan terkini pesawat japan airlines
Kredit: @aviationbrk/X

Berkecai Jadi Serpihan, Ini Keadaan Terkini Pesawat Japan Airlines

Berkecai Jadi Serpihan, Ini Keadaan Terkini Pesawat Japan Airlines

Satu tragedi ngeri yang meragut nyawa lima kru pesawat Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo semalam telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk di negara Matahari Terbit itu.

Hari ini, beberapa akhbar telah memaparkan keadaan semasa pesawat Airbus A350 Japan Airlines ketika pegawai penyiasat melaksanakan siasatan terperinci terhadap insiden itu.

Dalam ciapan di platform X, Bernama mengepilkan beberapa keping gambar menunjukkan keadaan terkini pesawat yang hampir 90 peratus musnah dijilat api pada Selasa.

Kredit: @aviationbrk/X

Ketika kejadian, bentuk dan warna pesawat tersebut masih lagi boleh dilihat dengan jelas susulan bahagian bawah pesawat hanya dijilat api sebelum ia merebak membakar keseluruhannya.

Pandangan dari udara juga menunjukkan badan pesawat itu telah berkecai di mana ia telah bertukar menjadi serpihan.

Japan Airlines tawar bayaran semula

Dalam perkembangan lain, Japan Airlines menawarkan bayaran balik untuk tiket penerbangan susulan insiden tersebut.

Syarikat tersebut turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan penumpang atas kejadian yang menimpa mereka.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga kakitangan pesawat Pengawal Pantai Jepun yang kehilangan nyawa dan memohon maaf atas kesulitan dan kesusahan yang dialami penumpang kami, keluarga mereka dan mereka yang terjejas.

“Keselamatan pelanggan dan pekerja kami adalah keutamaan nombor satu kami, dan kami bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan itu.

“Sehubungan itu, kami menawarkan perubahan dan bayaran balik untuk tiket penerbangan JAL Group tanpa sebarang bayaran untuk pelanggan yang membuat tempahan sehingga 31 Mac 2024,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, jurucakap Japan Airlines memaklumkan kesemua 379 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Japan Airlines yang terbakar di lapangan berjaya diselamatkan.

Pesawat itu, yang mengendalikan penerbangan 516 dari Lapangan Terbang New Chitose di Wilayah Hokkaido ke Lapangan Terbang Haneda Tokyo, bertembung dengan sebuah pesawat yang dipercayai milik Pengawal Pantai Jepun selepas mendarat di Lapangan Terbang Haneda.

Sumber: X

BACA: Siasatan Bermula, Penumpang Kongsi Detik-detik Nahas Kebakaran Pesawat Japan Airlines

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana