Pesawat A350 Buatannya Terlibat Nahas, Ini Respon Airbus
Airbus dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat buatannya, A350-900 milik Japan Airlines terlibat dalam kemalangan dengan pesawat milik pasukan Pengawal Pantai Jepun.
Kemalangan berkenaan berlaku di Lapangan Terbang Haneda, kira-kira 5.47 petang (waktu tempatan) semalam.
Susulan kejadian itu, Airbus menerusi kenyataan yang sama turut memberi beberapa respon berkenaan tragedi tersebut.
Menurut Airbus, kejadian itu berlaku selepas pesawat A350 itu bertembung dengan pesawat DHC-8 milik Pengawal Pantai Jepun semasa mendarat.
Respon Airbus selepas pesawat buatannya terlibat nahas di Jepun
“Pesawat yang terlibat dalam tragedi itu didaftarkan di bawah kod JA13X (MSN 538) adalah pesawat yang diserahkan kepada Japan Airlines pada 10 November 2021.
“Kapal terbang berkenaan dipasang dengan enjin Rolls-Royce Trent XWB”, kata Airbus.
Selari dengan saranan Annex 13 oleh Organisasi Penerbangan Antarabangsa (ICAO), Airbus akan memberikan bantuan teknikal untuk membantu siasatan tragedi berkenaan.
Difahamkan, tragedi berkenaan akan disiasat oleh Biro d’Enquêtes et d’Analyses (BEA) Perancis dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun (JTSB).
Airbus juga akan menubuhkan satu pasukan khas yang akan dihantar ke Jepun untuk bekerjasama dengan kedua-dua badan tersebut.
Airbus juga berkata bahawa perkembangan siasatan yang terkini akan diberitahu kepada umum sebaik sahaja siasatan selesai.
“Kemas kini selanjutnya akan diberikan sebaik sahaja maklumat yang diperolehi tersedia dan Airbus diberi kuasa untuk mengeluarkannya,” tulis kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Airbus juga mengucapkan takziah kepada semua pihak yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi berkenaan.
“Kami bersimpati terhadap keluarga, rakan dan orang tersayang yang terjejas akibat kemalangan itu,” tulis Airbus lagi.
Terdahulu, jurucakap Japan Airlines memaklumkan kesemua 379 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Japan Airlines yang terbakar di lapangan berjaya diselamatkan.
Bagaimanapun, lima daripada enam kru dalam pesawat Pengawal Pantai Jepun dilaporkan terkorban.
Tragedi berkenaan berlaku ketika negara tersebut masih berduka selepas digegar kejadian gempa bumi kuat 7.5 magnitud.
BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: Airbus