Siakap Keli
dap rumah ngeh
Kredit: BERNAMA

Rumah Ngeh Dilontar “Molotov Cocktail”, DAP Minta KDN, PDRM Ambil Perhatian Serius

Rumah Ngeh Dilontar “Molotov Cocktail”, DAP Minta KDN, PDRM Ambil Perhatian Serius

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) — DAP meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perhatian serius susulan kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilontar dengan “molotov cocktail” dalam kejadian pada awal pagi tadi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam kenyataan hari ini berkata kejadian terbabit menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta Ngeh.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata KDN dan PDRM perlu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali bagi menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” katanya.

BACA: DAP Pecat 8 Ahli Kerana Sokong Wakil Rakyat Lompat Parti

Loke berkata susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat.

“Kami yakin pihak polis akan bertindak tegas dan cepat untuk menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah itu,” katanya.

Mengenai kejadian berkenaan, Loke berkata bomba berjaya memadamkan api sebelum ia merebak ke dalam kediaman Ahli Parlimen DAP itu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tiada Larangan Warga Asing Beli Minyak Masak Bersubsidi – Armizan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana