Siakap Keli
isteri sporting suami poligami
Gambar: syazwani_mirabilia via TikTok

’12 Tahun Berendam Air Mata Tak Mampu Beri Zuriat’- Isteri ‘Sporting’

’12 Tahun Berendam Air Mata Tak Mampu Beri Zuriat’- Isteri ‘Sporting’ Suami Poligami

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang wanita yang sedang memasang dan menghias sebuah pelamin perkahwinan.

Apa yang menjadi tumpuan warga maya adalah ‘singgahsana raja sehari’ yang sedang dipasang itu sebenarnya pelamin untuk suaminya sendiri.

Rata-rata warga maya mengagumi dan memuji wanita yang dikenali sebagai Puan Syazwani itu kerana cekal dan sporting dengan perkahwinan suaminya sendiri.

Maka terpaparlah kisah mereka di paparan skrin portal dan media sosial yang bertajukkan ‘Isteri Sporting Bagi Suami Poligami’ hingga meraih perhatian ramai.

Namun hakikatnya, tidak ramai yang tahu akan kisah ‘di sebalik tabir’ yang menjadi sejarah terbesar dalam hidup ‘Si Isteri Sporting’ yang bernama Puan Syazwani ini.

Luahan Hati Seorang Isteri

Dalam satu hantaran miliknya yang terkini, Puan Syazwani telah meminta maaf kerana videonya yang tular itu mungkin melukan hati sesetengah para wanita yang lain.

Melalui hantaran itu, wanita tersebut telah menyatakan bahawa dia hanya mahu menunjukkan hasil kerjanya seperti video-videonya yang lain dan bukan atas sebab-sebab yang lain.

Tetapi, apabila video yang menampakannya memasang pelamin buat suami dan madunya sendiri menjadi perhatian, wanita itu akhirnya memberikan penjelasan kepada orang ramai.

Menurutnya apabila ditemu bual oleh Siakap Keli, Puan Syazwani telah mengizinkan suaminya itu untuk bernikah lagi demi mendapatkan zuriat.

“Saya nak suami saya rasa ada zuriat,” kata wanita itu dalam temuramah bersama Siakap Keli baru-baru ini.

’12 Tahun Berendam Air Mata’

Begitu jugalah yang dijelaskan olehnya dalam hantaran yang dinyatakan. Puan Syazwani menjelaskan bahawa dia dan suami telah berusaha untuk mendapatkan zuriat sepanjang perkahwinan mereka selama 12 tahun. Namun, hajat mereka tidak kesampaian.

“12 tahun Wani berendam air mata rasa bersalah pada suami Wani. Tahan je orang cakap bukan-bukan pasal suami, padahal Wani tahu masalah tu memang dari Wani.

“Bukan kami taknak ambil anak angkat tapi Wani dah bincang dengan suami yang kami nak zuriat kandung sendiri,” katanya dalam hantaran itu.

Puan Syazwani mengatakan bahawa ia merupakan kekurangan pada dirinya kerana tidak dapat memberikan zuriat kepada suaminya. Kerana itu, dia telah mengizinkan suaminya itu untuk berkahwin baru.

Tetapi, dirinya itu tetap merasai rasa sedih atas keputusan yang telah dibuat. Dia menjelaskan bahawa dia juga seperti wanita lain yang akan mempunyai perasaan sedih mengenai hal tersebut.

Usaha Berubat, Sebak Pandang Wajah Suami

Dalam pada itu, mungkin ada yang terfikir adakah mereka sudah mencuba alternatif lain untuk dapatkan zuriat. Namun sebagai manusia, mereka akur bahawa Allah itu lebih Maha Mengetahui.

Tambahan pula, ada waktunya Puan Syazwani mengakui dirinya berasa sebak apabila terkenangkan riak wajah suaminya yang seakan berharap apabila melihat kanak-kanak lain.

“Wani dan suami memang dah usaha pergi berubat, pergi hospital buat check up semua, memang masalah daripada Wani.

“Suami Wani tak cakap pun dia nak kahwin baru sebab anak, tapi Wani faham bila dia pandang muka budak-budak kecik dia menangis.

“Wani tak tahu kalau hati orang lain macam mana, tapi hati Wani memang sebak sangat, sebab Wani tahu kurang Wani tak mampu bagi dia zuriat,” luahnya.

Pernah Minta Berpisah, ‘U-turn’ Kembali Asbab Reda

Hati wanita mana yang tidak tersentuh apabila cinta hatinya terpaksa membahagi kasih kepada insan lain. Masakan tidak, Puan Syazwani pernah sampai ke tahap mahu berpisah, namun dia membuat pusingan ‘U’ akhirnya.

Difahamkan, masa berselang masa, akhirnya Allah menjentik hati Puan Syazwani untuk reda menerima ketentuanNya. Benarlah kata pepatah, taqdir Allah itu lebih tinggi daripada tadbir manusia.

“Tentang perkahwinan suami dan adik madu (gelaran bagi madunya), ini jodoh yang Allah dah tetapkan buat suami dan Wani dan adik madu Wani. Selepas Wani tahu, Wani sama macam orang lain memang kecewa terluka sakit semua.

“Selepas tiga hari suami Wani nikah bulan 8 tahun 2023 Wani buat keputusan nak berpisah, tapi suami Wani taknak lepaskan Wani.

“Dia sentiasa jaga hati Wani dan jaga Wani dengan baik. Wani pun taknak rasa sakit lagi, jadi Wani buat keputusan untuk berbaik dengan adik madu, dan berlapang dada dengan segala ujian yang datang ini,” katanya.

Tidak sia-sia doa yang dipanjatkannya selama ini, akhirnya Allah memberikannya satu ketenangan yang luar biasa jauh di dasar hati nuraninya iaitu fitrah seorang wanita yang suka berkasih-sayang.

“Alhamdulillah Wani minta ketenangan yang luar biasa dari Allah. Dan Allah hantar perasaan sayang antara kami. Mungkin ini juga salah satu doa suami Wani nak kami bersatu dan berlembut hati.

“Wani mula sedar yang selama ini suami Wani terima je segala kekurangan Wani dan jaga Wani dengan baik selama 12 tahun ini.

“Selepas dia berkahwin baru pun dia jaga kami berdua dengan baik, bawak pergi mana-mana pun mesti bawak dua-dua sekali, waktu Wani sakit pun adik madu datang tengok, hantar makanan dan tak berkira waktu dengan Wani.

“Dia hormat sangat Wani. Sebab tu lama-lama Wani makin sayang dia. Wani anggap dia macam adik Wani. Dia hormat sangat Wani,” katanya, menceritakan hubungan murni antara dirinya dan madunya.

Berkongsi Rasa Bahagia, Yang Dinanti Bertahun Lamanya Akhirnya Bakal Muncul Jua

Gelap hari setelah berlalunya siang. Berakhir malam maka muncullah matahari. Segala yang berlaku adalah sunnatullah yang tergerak atas keizinanNya. Apa yang dinanti pastikan muncul jua.

Demikianlah frasa yang boleh disifatkan terhadap situasi mereka bertiga khususnya si suami apabila penantian zuriat pertama selepas 12 tahun akhirnya tiba ke penghujungnya.

“Alhamdulillah tak lama lagi Insya-Allah kami bakal timang cahaya mata suami dan adik madu. Wani tumpang gembira, Allah saja yang tahu.

“Wani syukur sangat Allah pinjamkan rasa kebahagiaan ini walaupun bukan dari rahim Wani. Tetap anak Wani juga. Doakan dipermudah semuanya ya. Insya-Allah,” tambahnya.

Kisah Pelamin Tular: Kenangan Indah Hari Bahagia Bersama

Menyentuh video mereka yang tular baru-baru ini, Puan Syazwani turut menjelaskan bahawa pelamin yang mereka bina bersama itu sebenarnya adalah ideanya sendiri.

“Waktu Wani buat pelamin tu, Wani tak rasa sedih pun. Suami dan adik madu tak mahu pun semua tu. Tapi, Wani yang excited cari baju, makeup dan buat pelamin semua tu,” jelasnya.

Pada penghujung temu bual, Puan Syazwani turut menitipkan sedikit nasihat buat orang ramai yang membaca kisahnya dalam artikel ini.

“Kita yang pilih bahagia kita sendiri. Kita pilih sedih, sedihlah sampai bila-bila. Tapi kalau kita fikir kita boleh bahagia, InsyaAllah, Allah akan beri bahagia itu,” katanya.

Sumber: Puan Syazwani via TikTok

BACA JUGA: Pameran Anak-anak Sidek: ‘Bun’ Rasa Dihargai, Nak Terus Menyumbang Dalam Badminton

Nurul Alya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'