Pindahan Ke Akaun Sendiri Tak Lagi Tersedia Di M2U Klasik
Perkhidmatan Own Account Transfer atau Pindahan ke Akaun Sendiri tidak lagi akan tersedia di laman web M2U Klasik mulai 20 Januari 2024.
Maybank menerusi satu kenyataan berkata perkhidmatan tersebut akan dipindahkan secara kekal ke laman web Maybank2u yang terkini.
Selain itu, pihak Maybank juga meminta kepada pengguna untuk beralih ke laman web Maybank2u terkini. Hal ini kerana pengguna dapat merasai pengalaman perbankan dalam talian yang lancar tanpa gangguan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan tahap keselamatan perbankan dalam talian anda,” kata Maybank.
BACA: Maybank Umum Tidak Akan Kenakan Caj Tambahan DuitNow QR Kepada Pengguna
Difahamkan, bagi yang masih menggunakan laman web M2U klasik, pengguna boleh beralih ke laman web Maybank2u terkini dengan menaip www.maybank2u.com.my dalam bar carian.
Bagaimanapun, pengguna masih boleh log masuk ke akaun Maybank2u dengan menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang sedia ada. Malah, Favourite yang telah disimpan juga dikekalkan.
Jelas Maybank lagi, perubahan ini tidak menjejaskan pengguna Maybank2u Biz dan pengguna boleh terus melakukan transaksi dalam talian seperti biasa.
Jika mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh emelkan kepada [email protected].
Pada tahun 2018, Maybank melancarkan laman web Maybank2u yang baru serta menambah baik untuk memberikan pengalaman perbankan dalam talian dengan lebih mudah.
BACA: Maybank: Semua Pengesahan Secure2u Hanya Melalui Aplikasi MAE Bermula 1 Julai
Imbas kembali, Maybank sebelum ini mengumumkan bahawa Secure2u akan dialihkan sepenuhnya kepada aplikasi MAE bermula 1 Julai tahun lalu.
“Hanya Secure2u melalui aplikasi MAE yang akan digunakan untuk meluluskan kesemua transaksi yang dibuat melalui web Maybank2u, atau melalui aplikasi M2U MY dan aplikasi MAE,” katanya.
Langkah itu diambil bagi mempertingkatkan sekuriti perbankan buat semua pelanggan.
“Secure2u melalui aplikasi MAE mempunyai ciri sekuriti tambahan bagi melindungi akaun dan wang anda untuk memastikan perbankan yang terselamat.
“Peningkatan sekuriti perbankan ini adalah selaras dengan hala tuju Bank Negara Malaysia untuk memerangi penipuan kewangan,” kata Maybank lagi.