Maybank baru-baru ini melancarkan perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadannya untuk pelanggan Maybank yang melancong ke Singapura, Indonesia dan Thailand di mana mereka kini boleh melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai dan segera melalui aplikasi MAE. Begitu juga, bagi pelancong yang datang dari negara-negara ini boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan peniaga-peniaga Maybank QRPay di Malaysia.
Tawaran baharu ini akan membolehkan rakyat Malaysia yang melawat negara berikut menikmati pilihan pembayaran lebih murah, pantas dan mudah melalui aplikasi MAE. Dengan pembukaan semula sempadan untuk perjalanan tanpa kuarantin, pembayaran QR rentas sempadan menawarkan kemudahan kepada pelancong supaya tidak perlu beratur di pengurup wang dan membawa sebarang wang tunai.
Begitu juga, pelancong yang melawat Malaysia di mana banknya ada hubungan dengan penyedia perkhidmatan pembayaran juga boleh mendapat manfaat daripada QR rentas sempadan menggunakan aplikasi perbankan tempatan mereka di peniaga Maybank QRPay di seluruh negara. Ini memberi manfaat besar kepada peniaga tempatan yang berdaftar, kerana ia membolehkan mereka menerima bayaran daripada pelancong dalam Ringgit Malaysia (MYR) terus ke dalam akaun mereka.
Dato’ John Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti berkata bahawa hasrat Maybank sentiasa untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang akan memberikan nilai dan meningkatkan kehidupan pelanggannya, selaras dengan tujuan untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan. Perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan adalah ciri penting yang akan memudahkan pelancong Malaysia ke luar negara melalui aplikasi MAE, serta pelancong yang datang ke Malaysia untuk melakukan pembayaran tanpa tunai melalui mata wang negara masing-masing. Ia juga berfungsi sebagai kunci untuk meningkatkan kecekapan sambil mempromosikan ekonomi digital dan ketrangkuman kewangan di rantau ASEAN.
“Ini adalah tepat pada masanya di mana kami melihat peningkatan ketara dalam permintaan teknologi di kalangan orang ramai ketika mereka mencari penyelesaian perbankan yang menawarkan kelajuan yang tiada tandingan dan tahap kemudahan baharu sambil memastikan keselamatan transaksi mereka, terutamanya selepas wabak.
Tambahan pula, hubung-kait pembayaran QR antara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand melengkapkan rangkaian saling kebergantungan pembayaran dua hala yang semakin meningkat yang akan menyumbang ke arah ASEAN lebih dinamik dan pembangunan selanjutnya di rantau ini.”
Ini juga merupakan sebahagian daripada strategi M25+ Kumpulan untuk mengukuhkan kehadiran dan kedudukan perniagaannya di rantau ini dan bagi Malaysia untuk menyediakan perniagaan dan penyelesaian produk yang dipelbagaikan disokong oleh pemodenan platform dan aplikasi teknologi Maybank di seluruh pasaran utamanya.
Perkhidmatan pembayaran QR Maybank akan memberikan kemudahan kepada lebih 8 juta pengguna aplikasi Maybank dan memanfaatkan lebih 700,000 peniaga Maybank QRPay di Malaysia. Kira-kira 3.5 juta pelancong Malaysia melancong ke Singapura, Indonesia dan Thailand pada 2022 sahaja dan dengan pengenalan perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan Maybank, Kumpulan menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan yang lancar dan selamat untuk mereka.
Perkhidmatan pembayaran QR merentas sempadan Bank diwujudkan melalui kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Maybank juga sedang dalam usaha untuk melancarkan ciri pembayaran ini di lebih banyak negara tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Perkhidmatan Pembayaran QR rentas sempadan baharu Maybank dan senarai bank yang mengambil bahagian serta penyedia e-dompet, sila layari https://maybank.my/crossborderqr