Si Comel Kegemaran Ramai, Ini Fakta Menarik Memerang
Kebanyakan warga net memang menyukai haiwan-haiwan yang comel seperti kucing, anjing, arnab dan banyak lagi. Memerang juga tidak ketinggalan tau!
Kepada pengguna TikTok, anda pasti akan menemui video yang menunjukkan aksi memerang yang mencuit hati, kan? Terdapat banyak video di TikTok mahupun Instagram yang menunjukkan gelagat haiwan ini.
Tetapi, walaupun anda sukakan memerang atau nama Inggeris otter, adakah anda mengetahui beberapa fakta mengenainya? Kalau nak tahu, inilah beberapa fakta menarik memerang!
Bukan Semuanya Memerang Laut
Kebanyakan orang mungkin tidak dapat membezakan antara memerang laut dan memerang sungai. Ia menyebabkan orang ramai untuk menganggap memerang sungai sebagai memerang laut.
Memerang sungai akan tinggal di sungai, tetapi ia akan memburu dan berenang di sekitar lautan. Ia mempunyai telinga boleh dinampak, berenang dengan perutnya menghadap bawah, menggunakan kaki berselaput untuk bergerak dan boleh bergerak dengan pantas di dalam air dan di darat.
Manakala memerang laut pula tinggal di lautan dan di persisiran pantai. Ia bergerak dengan perlahan di darat dan bergerak menggunakan kaki belakang serta ekornya.
Saiz memerang laut adalah lebih besar daripada memerang sungai. Beratnya pula boleh mencecah 100 paun (45 kilogram) untuk memerang jantan. Berat memerang sungai jantan pula tidak akan melebihi 30 paun (13 kilogram).
Berpautan Ketika Tidur
Anda mungkin pernah melihat video comel yang menampakkan dua ekor memerang yang tidur di atas permukaan air sambil berpautan antara satu sama lain.
Ia sebenarnya memang dilakukan oleh haiwan ini, terutama sekali antara anak memerang dan ibunya. Tujuan memerang berpaut antara satu sama lain adalah untuk memastikan ia tidak akan terhanyut.
Ia juga tidur dengan membalutkan rumpai yang panjang di sekeliling mereka seperti selimut. Rumpai itu digunakan sebagai pemberat supaya memerang tidak akan hanyut ke lautan.
Apabila anak memerang masih kecil, ibunya akan memegang anak memerang itu di atas perutnya bagi mengelakkan ia terhanyut.
Ia Merupakan Haiwan Terancam
Antara 13 spesies memerang, IUCN telah senaraikan lima antaranya sebagai haiwan terancam. Tiga spesies daripadanya dalam keadaan hampir terancam dan dua spesies lagi terdedah kepada ancaman.
Hanya spesies memerang Amerika Utara saja yang dikatakan berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan.
Haiwan ini terancam kerana berlakunya pencemaran, kemusnahan habitat, memancing secara berlebihan dan juga pemburuan haram.
Nyawa memerang ini juga berada dalam keadaan bahaya kerana ia mungkin tersangkut pada jala atau alatan memancing lain yang mungkin tidak kelihatan olehnya.
Menurut laporan Oceana pula, “Tumpahan minyak menimbulkan ancaman terbesar kerana memerang laut tinggal berdekatan dengan laluan kapal tangki utama dan ia mudah menghidap hipotermia jika bulunya bersentuhan dengan minyak.”
Selain itu, terdapat juga parasit kucing yang dipanggil toxoplasmosis yang turut membahayakan nyawa memerang ini. Parasit ini boleh didapati dalam najis kucing dan ia akan masuk ke dalam laluan air sekiranya najis itu dibuang di dalam tandas dan dipamkan.
Memerang Mempunyai Banyak Nama
Kalau dalam bahasa Melayu, anda mungkin akan memanggilnya memerang atau anak memerang saja. Tetapi, ia mempunyai pelbagai panggilan dalam bahasa Inggeris.
Untuk anak memerang, ia mempunyai beberapa panggilan dalam bahasa Inggeris iaitu, pups, kits dan kittens. Memerang betina pula dipanggil sows dan memerang jantan dipanggil boars.
Dalam bahasa Inggeris, sekumpulan memerang dipanggil family, bevy, lodge dan romp. Kebiasaannya, romp digunakan untuk merujuk kepada sekumpulan memerang di atas darat.
Manakala sekumpulan memerang di dalam air pula dipanggil raft.
Memerang Gergasi

Memerang gergasi merupakan spesies memerang yang terancam yang boleh dijumpai di Amerika Selatan, terutama sekali di sepanjang Sungai Amazon dan di Pantanal.
Ia merupakan spesies memerang terpanjang dengan kepanjangan enam kaki dan berat 75 paun (34 kilogram). Ia makan makanan seberat sembilan paun (empat kilogram) setiap hari.
Pemburuan haram untuk mendapatkan bulunya itu telah mengakibatkan populasi haiwan berkenaan semakin berkurangan.
Selain itu, ia juga menerima ancaman seperti kemusnahan habitat, racun perosak dan pencemaran akibat perlombongan. Pakar menganggarkan kurang daripada 8,000 ekor memerang saja yang masih wujud.
Memerang Hidung Berbulu

Memerang dengan hidung yang berbulu merupakan spesies memerang terancam di Asia. Ia sebenarnya dianggap sebagai spesies yang sudah pupus hinggalah pada tahun 1998 di mana seorang saintis dari Thailand menjumpai populasi kecil memerang itu.
Penemuan semula setelah ia dianggap sebagai haiwan yang sudah pupus telah menjadikan memerang ini sebagai spesies Lazarus. Spesies Lazarus bermaksud haiwan yang pada mulanya dikatakan telah pupus tetapi telah dijumpai semula.
Ancaman terbesar bagi memerang hidung berbulu ini adalah pemburuan haram dan kehilangan habitat akibat kebakaran hutan, pembinaan empangan, dan membersihkan hutan paya untuk ladang kelapa sawit dan ternakan ikan.
Memerang ini menyukai hutan paya gambut, terutamanya yang mempunyai Melaleuca, pokok teh paya. Tetapi, bilangan pokok teh itu semakin berkurangan.
Sesetengah Spesies Tiada Kuku
Kebanyakan memerang mempunyai kuku tajam yang membantunya untuk menangkap mangsa. Tetapi, terdapat tiga spesies memerang yang mempunyai kuku yang tumpul ataupun tidak mempunyai kuku.
Tiga spesies ini adalah, memerang berkuku pendek Asia, memerang tidak berkuku Afrika dan memerang tidak berkuku Congo. Memerang daripada tiga spesies ini juga mempunyai selaput yang kurang di kakinya.
Kombinasi kuku pendek dan selaput yang sikit ini menjadikan memerang ini lebih lincah ketika mencari makanan. Ia menggunakan kaki bahagian depannya dengan ketangkasan menyerupai ketangkasan manusia untuk menangkap makanan.
Najis Memerang Memberi Informasi
Memerang sungai akan melakukan scat dance atau tarian najis di mana ia akan menghentakkan kaki belakang dan ekornya. Ia kemudiannya meninggalkan sesuatu yang dipanggil spraints yang merupakan najis yang dikatakan mempunyai bau seperti violet oleh para penyelidik.
Memerang mempunyai tempat yang diibaratkan seperti tandas kegunaan ramai. Di situ, ia akan bertukar informasi menerusi isyarat kimia daripada najisnya.
Bulu Memerang Laut Yang Lebat
Memerang laut bukan saja mempunyai bulu yang sangat lebat antara semua spesies memerang yang lain, ia juga mempunyai bulu yang paling lebat antara semua haiwan.
Memerang mempunyai bulu sebanyak 2.6 juta bulu setiap inci persegi. Ia lebih lebat seribu kali lebih lebat daripada rambut manusia.
Bulu yang lebat itu diperlukan kerana memerang merupakan satu-satunya haiwan yang tidak mempunyai lapisan lemak yang boleh digunakan untuk dijadikan penebat.
Ia bergantung kepada semua bulu yang dipunyai untuk memerangkap udara terhadap permukaan kulitnya dan bulunya yang lebat amat membantu untuk melakukannya.
Barbs pada setiap helaian bulu akan menahan gelembung udara yang ditiup memerang ke dalam kulitnya semasa dandanan.
Udara ini mempunyai kesan sampingan yang kadangkala tidak diingini, iaitu ia akan membuat memerang mudah terapung. Kadangkala seekor memerang mesti berpegang pada batu atau beberapa rumpai laut untuk kekal tenggelam semasa berenang.
Memerang Kuat Makan
Anda ingat manusia saja yang boleh kuat makan? Memerang pun sama juga tau!
Memerang mempunyai selera makan yang sangat tinggi, dan ia bukan ekslusif untuk memerang gergasi saja. Semua spesies memerang akan makan makanan 20 peratus hingga 33 peratus dari beratnya sendiri untuk setiap hari.
Ia mengambil masa selama lima jam untuk mencari makanan setiap hari. Ia akan menyimpan mangsa dalam poket kulit yang longgar di bawah lengannya dan menggunakan batu sebagai alatan untuk membuka kerang.
Selera memerang yang besar ini telah membantu rumpai hutan dengan memakan landak laut. Tanpa memerang, populasi landak laut ini akan meningkat dan ia akan menghilangkan habitat rumpai.
Ia Merupakan Keystone Species
Maksud keystone species adalah merujuk kepada organisma yang membantu mengekalkan sistem bersama-sama dalam sesebuah ekosistem itu.
Sekiranya memerang tidak dapat dilihat di sesebuah kawasan, ia bermaksud kawasan itu sudah tercemar, berlakunya pemecahan habitat, atau kehilangan mangsa akibat kemusnahan habitat.
Kekurangan mangsa akan menjejaskan memerang kerana ia memerlukan kalori yang tinggi. Memerang mungkin akan berhijrah untuk mencari makanan sekiranya berlakukan kekurangan mangsa untuk diburu.
Berada di tahap rantaian makanan tertinggi akan menyebabkan bahan pencemar tertumpu di dalam badannya dan ia akan membawa kepada penyakit dan kematian.
Tugas Berat Ibu Memerang
Apabila anak memerang baru berumur sebulan, ia masih tidak boleh berenang walaupun ia dilahirkan di lautan. Bulunya yang bersih dan gebu akan menghangatkannya dan akan memerangkap udara untuk bantunya terapung.
Ibu memerang akan mendandan anak memerang dan menghembuskan udara kepada bulunya yang bersih untuk membantunya terapung. Ibu memerang itu kemudiannya akan membalut anaknya dengan rumpai untuk dijadikan pemberat sementara ia pergi memburu.
Kebanyakan ibu memerang akan menghabiskan masa selama 14 jam sehari untuk mencari makanan demi anak memerang yang mempunyai keperluan pemakanan yang sangat tinggi.
Disebabkan itu, kebanyakan ibu memerang akan mati akibat penyakit ringan. Ia melakukan segalanya tanpa bantuan daripada bapa memerang.
Ia menjaga anaknya itu dari enam hingga lapan bulan, sehinggalah anak memerang itu boleh hidup sendiri.
Ambil Alih Sarang Haiwan Lain
Kadang-kadang, memerang akan duduk di sarang tikus muskrat yang ditinggalkan. Ada juga memerang yang akan terus tinggal di sarang tikus yang masih ada tikusnya. Ia juga akan mengambil alih sarang musang dan arnab di tebing sungai.
Memerang mempunyai holt yang merupakan sarang bawah tanah untuknya sembunyi daripada bahaya, berteduh dan juga membesarkan anak memerang.
Ia boleh dibuktikan dalam bentuk jejak, bau dan najis. Holt ini boleh ditemui di sepanjang tebing sungai, di antara akar pokok, di bawah dahan, berus, atau batu.
Perenang Yang Pantas
Memerang boleh berenang dengan kelajuan tujuh batu per jam. Kelajuan ini adalah tiga kali ganda lebih laju berbanding perenang manusia. Memerang juga boleh menahan nafasnya selama tiga hingga empat minit dengan menutup hidung dan telinganya untuk menghalang kemasukan air.
Ekornya yang kuat membantunya untuk berenang dengan laju. Memerang sungai juga mempunyai selaput yang turut membantunya untuk berenang.
Ia Suka Bermain
Setiap kali memerang juggle batu, ia bukanlah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran memburunya ataupun untuk mengeluarkan isi daripada kerang.
Tetapi, ia sebenarnya sedang bermain. Para penyelidik mendapati bahawa ia akan bermain apabila ia bosan ataupun lapar. Namun, ia akan kurang bermain sekiranya ia kekurangan makanan.
Sumber: Tree Hugger
BACA JUGA: Suka Kumpul Barang? Anda Mungkin Ada Masalah ‘Hoarding Disorder’