Suka Kumpul Barang? Anda Mungkin Ada Masalah ‘Hoarding Disorder’
Pernah tak anda duduk dalam bilik anda, dan anda tiba-tiba tersedar bilik anda itu dipenuhi dengan barang-barang yang anda kumpul?
Bila anda nak kemaskan dan buang barang-barang itu, anda rasa serba salah nak buang. Sudahnya, anda simpan balik. Nak sedapkan hati anda, anda akan cakap “Mungkin nanti boleh guna lagi”.
Barang-barang yang dikumpul pula diletakkan merata dan tidak disusun dengan baik sehingga ia mungkin mengganggu anda atau orang lain yang tinggal bersama anda.
Kalau anda pernah mengalami situasi ini, anda mungkin mempunyai masalah hoarding disorder.
Maksud Hoarding Disorder
Hoarding disorder merujuk kepada seseorang yang mempunyai banyak barangan yang dikumpul dan ia disimpan dengan keadaan yang tidak teratur. Kebiasaannya, ia akan menyebabkan tempat tinggalnya itu kelihatan bersepah.
Barang-barang yang dikumpul juga biasanya tidak mempunyai nilai yang beharga ataupun mempunyai nilai yang sangat sedikit.
Ia merupakan satu masalah yang besar sekiranya barangan yang dikumpul itu mengganggu kehidupan seharian. Contohnya, barangan diletakkan di merata tempat sehingga seseorang itu susah untuk pergi ke dapur, bilik ataupun berehat dengan selesa di ruang tamu.
Selain itu, ia juga akan menjadi kesan negatif terhadap kualiti kehidupan seseorang itu ataupun keluarga mereka. Terutama sekali sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka yang mahu mengemaskan barangan mereka itu, ia akan membuatkan seseorang itu rasa tidak senang.
Hoarding disorder merupakan sesuatu yang sukar untuk dirawat kerana kebanyakan orang yang mengumpul barangan ini biasanya tidak melihatnya sebagai satu masalah.
Kadang-kadang, mereka juga berkemungkinan untuk tidak menyedari bahawa tabiat mereka itu akan memberi kesan kepada diri mereka sendiri ataupun orang lain.
Mungkin juga ada yang menyedari bahawa mereka mungkin mempunyai masalah hoarding disorder tetapi mereka rasa malu dan rasa serba salah untuk meminta bantuan.
Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu menjadi seorang hoarder.
Sebab-Sebab Seseorang Menjadi Hoarder
Penyebab utama masalah ini masih lagi tidak difahami sepenuhnya. Ia juga boleh menjadi gejala untuk masalah yang lain.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai masalah pergerakan mungkin akan mengalami masalah dari segi fizikal dan tidak dapat untuk membuang barangan yang bertimbun.
Mungkin juga seseorang itu mempunyai learning disabilities ataupun mula menghidapi demensia yang tidak dapat mengkategorikan barangan dan membuang barangan yang tidak diperlukan.
Selain itu, terdapat juga masalah kesihatan mental yang dikaitkan dengan hoarding seperti, kemurungan yang sangat teruk, gangguan psikotik seperti schizophrenia dan juga obsessive compulsive disorder (OCD).
Hoarding disorder ini juga merupakan sejenis masalah yang tersendiri dan ia sering dikaitkan dengan masalah pengabaian diri sendiri.
Kebanyakan orang yang mempunyai masalah ini biasanya tinggal seorang diri, tidak berkahwin dan mempunyai zaman kanak-kanak yang serba kekurangan seperti tidak mempunyai barangan sendiri ataupun hubungan yang tidak baik antara ahli keluarga.
Selain itu, mereka juga berkemungkinan mempunyai sejarah keluarga yang turut merupakan seorang hoarder dan mungkin juga mereka sebelum ini hidup di dalam rumah yang bersepah dan tidak pernah belajar untuk mengutamakan barangan yang berharga atau berguna dan menyimpannya.
Kebiasaannya, mereka yang gemar mengumpul barangan sehingga ia menimbun ini akan mempunyai pemikiran seperti, “Saya mungkin akan perlukannya nanti,” atau “Jika saya beli barang ini, ia akan membuatkan saya gembira.”
Pemikiran itulah yang menyukarkan mereka untuk membuang barangan tersebut. Ada juga sesetengah orang yang mungkin mengalami masalah untuk menghadapi peristiwa kehidupan yang memberikan tekanan seperti kehilangan orang tersayang.
Ia akan menyebabkan seseorang itu untuk menyimpan sesuatu itu dan kebiasaannya barangan yang disimpan mempunyai sesuatu makna untuk individu itu.
Maksud atau kepentingan barangan itu mungkin tidak boleh dinampak oleh orang lain. Contohnya, barangan itu mempunyai nilai sentimental atau kegunaan yang penting terhadap seseorang.
Kebiasaannya, hoarders juga akan mempunyai emotional attachment yang kuat terhadap barangan yang dikumpul itu.
Perbezaan Hoarding Dan Collecting
Kebanyakan orang mempunyai hobi atau minat mengumpul sesuatu seperti mengumpul setem, buku-buku, figurine ataupun lukisan.
Kebiasaannya, barangan yang dinyatakan itu tidak akan menjadi masalah apabila ia dikumpul kerana ia akan disimpan dengan baik dan teratur.
Tetapi, ia berlainan dengan hoarding kerana ia bermaksud seseorang itu mengumpul barangan secara rawak sehingga ia menjadi timbunan. Ia juga tidak akan disusun dengan teratur dan diletakkan mereta tempat.
Contoh perbezaannya adalah, seseorang yang gemar mengumpul ulasan akhbar mungkin akan memotong ulasan yang disukainya dan diletakkan di dalam buku skrap khas.
Manakala hoarder pula akan mengumpul semua surat khabar dan menimbukannya di dalam rumah mereka.
Tanda-Tanda Hoarding Disorder
Seseorang yang mengalami hoarding disorder bermungkinan untuk mengalami tanda-tanda seperti, menyimpan atau mengumpul barangan yang tiada nilai seperti beg plastik.
Mungkin ada yang mengumpulnya untuk menggunakannya semula, tetapi apabila ia tidak disimpan dengan teratur, ia mungkin hanya akan menyepahkan rumah saja.
Selain itu, mereka mungkin akan mempunyai masalah untuk mengkategorikan atau menyimpan barangan mereka serta mempunyai masalah dalam membuat keputusan.
Mereka juga berkemungkinan mempunyai masalah melakukan tugasan harian seperti memasak, mengemas rumah dan membayar bil.
Mereka akan sering rasa sayang terhadap barangan yang dikumpul dan tidak akan membenarkan sesiapa saja untuk meminjam atau menggunakannya.
Seseorang yang mengalami hoarding disorder juga mungkin mempunyai hubungan yang tidak begitu baik dengan keluarga ataupun rakan.
Barang-Barang Yang Akan Dikumpul
Kebanyakan barangan yang akan dikumpul adalah, surat khabar dan majalah, buku, baju, risalah dan surat, terutama sekali surat yang tidak penting, bil dan resit.
Selain itu, mereka juga akan mengumpul, bekas, plastik bungkusan makanan, kotak dan juga barangan keperluan rumah yang lama.
Selain daripada barangan fizikal, mereka juga akan mengumpulkan data elektronik dan e-mel. Mereka mungkin akan mengalami kesusahan untuk membuankannya.
Mengapa Ia Menjadi Satu Masalah?
Ada beberapa sebab mengapa ia merupakan satu masalah. Sebab yang utama adalah ia akan mengganggu kehidupan seseorang itu di rumah mereka.
Timbunan barangan yang dikumpul akan menyukarkan seseorang itu untuk bergerak di dalam rumah mereka.
Ia juga akan menjejaskan prestasi kerja mereka, serta menjejaskan kebersihan diri mereka. Mereka juga akan mengalami masalah dalam hubungan bersama keluarga, rakan atau kekasih.
Mereka juga akan mula rasa kesunyian dan rasa terasing apabila tidak dapat mempelawa orang lain untuk berkunjung ke rumah mereka.
Hoarding disorder ini juga akan mendatangkan risiko kesihatan kepada mereka dan juga kepada sesiapa saja yang tinggal bersama atau berkunjung ke rumah mereka.
Antara risiko kesihatan yang mungkin dialami adalah, menyukarkan kerja-kerja pembersihan. Ia akan menyebabkan rumah mereka berada dalam keadaan yang tidak bersih.
Ia sekali gus akan membawa kepada kedatangan tikus dan serangga perosak untuk berkeliaran di rumah mereka.
Seterusnya, barangan yang dikumpul mempunyai risiko kebakaran dan ia akan menjadi penghalang laluan keluar sekiranya berlaku kebakaran di rumah.
Selain itu, timbunan yang dikumpul akan menyebabkan seseorang itu terpijak atau terjatuh disebabkan timbunan tersebut. Terdapat juga kemungkinan untuk barangan itu terjatuh ke atas seseorang sekiranya ia disimpan dalam timbunan yang tinggi.
Rawatan Hoading Disorder
Rawatan utamanya adalah cognitive behavioural therapy atau CBT. Menerusi terapi ini, mereka akan dibantu untuk memahami mengapa ia sukar untuk mereka buang barangan mereka dan punca mengapa barangan mereka kumpul menjadi timbunan bersepah.
CBT merupakan sejenis terapi yang bertujuan untuk membantu anda mengatasi masalah anda dengan mengubah cara pemikiran (kognitif) anda dan cara anda bertindak (kelakukan).
Ia menggalakkan seseorang itu untuk bercakap mengenai cara mereka berfikir tentang diri mereka, dunia dan orang lain, serta bagaimana tindakan mereka dapat memberikan kesan kepada pemikiran dan perasaan mereka.
Terapi ini akan digabungkan dengan tugasan yang praktikal dan rancangan yang perlu dipatuhi. Ia amat penting untuk seseorang itu bertanggungjawab untuk mengemaskan timbunan itu dari rumah mereka. Mereka akan disokong oleh ahli terapi mereka.
Terdapat juga ubat antidepresan yang dipanggil selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) yang juga dapat membantu seseorang yang mengalami hoarding disorder.
Hoarding disorder mungkin mengambil masa untuk mengatasinya, tetapi ia tidak bermaksud ia langsung tidak boleh dirawat.
Sumber: NHS
BACA JUGA: Wayar Voltan Tinggi Jatuh Ke Jalan? Ini Cara Selamatkan Diri