Pemilik Rugi RM35k, 10 Ekor Arowana Mati Diserang Memerang
Seorang pemilik ikan arowana di Singapura berputih mata selepas 10 daripada 16 ekor ikan peliharaannya mati diserang memerang, lapor Mothership.sg.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di rumah seorang wanita, Yuen Ying Tham di Jalan Berima di Bukit Timah.
Menurut Tham, dia telah memelihara sebanyak 16 ekor arowana di dalam kolam ikan di rumahnya dan dianggarkan bernilai S$1,000 (RM3,500) setiap seekor.
Tham berkata kejadian berkenaan berlaku pada 17 Januari lepas dimana memerang itu menyelinap masuk melalui celah pintu pagar rumah miliknya.
Beberapa keping gambar menunjukkan ikan mati bergelimpangan
Wanita itu turut berkongsi keadaan ikan-ikan arowana tersebut yang sudah mati bergelimpangan.
Beberapa ekor bangkai ikan tersebut turut ditemui di dalam kolam dimana ikan itu dipelihara.
Tambah Tham, serangan memerang itu turut disaksikan oleh pembantu rumahnya.
Pembantu rumahnya cuba menakut-nakutkan memerang tersebut, bagaimanapun usaha tersebut tidak berjaya.

Tham percaya, memerang itu hanya mahu ‘berseronok’ dan membunuh ikan arowananya sekadar ‘suka-suka’.
Ini kerana ikan-ikan itu tidak dimakan, sebaliknya hanya mengalami kecederaan pada bahagian leher, kehilangan mata dan sirip sahaja.

Sebelum ini, insiden serangan yang sama pernah menimpa Thang pada 2022. Dalam kejadian serangan itu, ikan koi dan ikan pemakan alga peliharaan turut mati diserang memerang.
Susulan kejadian itu, Tham memilih untuk memelihara ikan arowana kerana menyangka memerang tidak akan menyerang ikan jenis tersebut.
Keputusan untuk memelihara ikan arowana itu dibuat selepas kolam ikan tersebut terbiar dan hanya dipenuhi dengan katak serta berudu.
Bagaimanapun, tanggapan Tham ternyata salah dan terpaksa menanggung kerugian buat kali kedua.
Selepas insiden kali kedua itu, Tham tidak berhasrat untuk memelihara ikan perhiasan dalam kolam tersebut lagi selepas ini.
Dalam pada itu, Tham menjelaskan kolam tersebut tidak dipasang pagar kerana saiz dan reka bentuknya yang unik.
Jika ingin dipasang dengan pagar, kerja-kerja pengubahsuaian berskala besar perlu dilakukan.
BACA: Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum
Sumber: Mothership.sg