Siakap Keli
Pergi haji guna duit pinjaman
Kredit BERNAMA

Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum

Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum

Dalam Islam ibadah haji adalah tuntutan yang perlu dibuat oleh umatnya seperti yang terkandung dalam rukun Islam yang kelima. 

Ibadah haji ialah satu perbuatan mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji iaitu mulai dari 1 Syawal hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah. Hukum menunaikan ibadah haji adalah wajib sekali seumur hidup bagi orang yang istito’ah atau berkemampuan. Ramai yang berkeinginan untuk mengerjakan haji dan sekarang dengan wujudnya Tabung Haji, urusan untuk ke Tanah Suci menjadi lebih tersusun. 

Senario pergi tunai ibadat haji kini dah berubah, jika dahulu atuk nenek kita sanggup gadai tanah dan jual ternakan semata-mata untuk mencukupkan wang haji mereka tapi kini terdapat segelintir umat Islam yang tekad untuk mengerjakan ibadah Haji dengan melakukan pinjaman wang daripada bank dan sebagainya. 

Oleh itu, persoalan mula timbul berkaitan hukum berhutang demi menunaikan ibadah haji tersebut. 

Buat pinjaman untuk tunai ibadah haji

Untuk menjawab persoalan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan jawapan mereka berhubung persoalan tersebut. 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dan diharuskan.

Terdapat dua syarat yang dibolehkan untuk melakukan pinjaman tersebut iaitu pertama pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. 

Yang kedua adalah seseorang itu mesti mempunyai pendapatan yang lebih untuk sara diri serta orang yang berada di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji. 

Pergi haji guna duit pinjaman
Kredit BERNAMA

Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pinjaman maka diharuskan baginya untuk melaksanakan ibadah haji.

Walau bagaimanapun, cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk membayar semula pinjaman yang telah dibuatnya sekembalinya dari Tanah Suci.

Pun begitu, apabila dilihat kembali kepada rukun Islam yang kelima iaitu ‘Mengerjakan Haji Jika Berkemampuan’, bagaimana kita nak tahu setakat mana kemampuan yang dimaksudkan itu?

Adakah sekadar cukup wang ringgit? Atau perlu juga meneliti pelbagai faktor lain seperti kuota haji, kesihatan tubuh badan, tanggungan yang ditinggalkan sepanjang tempoh mengerjakan haji dan pelbagai lagi aspek yang perlu dilihat.

Persoalan sebegini sebenarnya boleh dirujuk semula kepada konsep istito’ah bagi menjelaskan bagaimanakah kemampuan seseorang untuk mengerjakan haji.

Namun begitu, apa definisi istito’ah yang sebenarnya bagi seseorang untuk mengerjakan ibadah haji?

Apa maksud istito’ah?

Ramai yang salah anggap apabila bercakap soal istito’ah atau berkemampuan ini, mereka  biasanya hanya fikir tentang berkemampuan dari segi kewangan sahaja. 

Bagaimanapun, berkemampuan atau istito’ah adalah sesuatu perkara yang merujuk kepada kemampuan dari segi kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran untuk menunaikannya. 

Pergi haji guna duit pinjaman
Kredit BERNAMA

Setiap aspek perlu diambil kira sebagai seorang yang berkemampuan. Ada sesetengah yang berkemampuan dari segi harta benda, tetapi kesihatan tidak mengizinkan dan sebaliknya. 

Bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan sudah semestinya menunaikan haji tanpa mengharapkan subsidi daripada Tabung Haji sangatlah besar sumbangannya kepada negara. 

Menyimpan hasil kerja kampung demi tunaikan haji guna duit sendiri

Seorang warga emas wanita yang berasal dari masyarakat golongan biasa ini wajar dijadikan contoh tauladan bagi mereka yang mahu menunaikan ibadah Haji. 

Mana tidaknya, perjalanan Hajah Jamiah Ahmad ini telah membuka mata ramai orang tentang maksud berkemampuan atau istito’ah yang sebenar. 

Beliau yang berasal dari golongan yang sederhana telah mampu menunaikan haji tanpa bantuan subsidi dari Tabung Haji dan tanpa membuat sebarang pinjaman kewangan, MasyaAllah. 

Menurutnya, beliau berjaya menjalani ibadah haji hasil daripada duit simpanan yang telah dibuat sejak tahun 90-an lagi. Hasil simpanan itu diperolehi hanya dengan punca pendapatannya yang membuat kerja-kerja kampung seperti mengusahakan sawit, pisang dan sawah padi. 

Tambah wanita berusia 68 tahun itu lagi, beliau tekad mahu menunaikan ibadah haji tanpa bantuan subsidi kerana telah memasang niat untuk menjalani ibadah tersebut menggunakan duitnya sendiri. Ia sesuai dengan prinsipnya sendiri bahawa ibadah itu perlu disempurnakan olehnya sepenuhnya. 

Baginya, bantuan subsidi itu lebih baik diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan dalam menunaikan ibadah tersebut. Beliau juga berasa sangat puas kerana dapat menunaikan haji hasil titik peluhnya 100% tanpa bantuan orang lain mengikut kemampuannya.

Kalau difikirkan, betul juga. Nenek moyang kita dahulu sebelum ada Tabung Haji semua kumpul wang sendiri untuk buat haji tanpa bantuan sesiapa walau sesen pun, kental betul orang-orang dulu.

Fahami konsep Istito’ah 

Dalam pada itu, menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al Bakri, beliau menjelaskan bahawa dalam melaksanakan ibadah haji perlu adanya istito’ah. 

Pergi haji guna duit pinjaman
Kredit BERNAMA

“Kalimah istito’ah bermaksud kemampuan dalam ibadah haji. Ia bermaksud pengertian bekalan mencukupi baginya menuju ke tanah suci sehingga pulang di samping bekalan yang mencukupi bagi keluarga dibawah tanggungannya di tanah air. 

“Istito’ah dengan makna ada kenderaan yang menyampaikan ke Makkah pula seperti kapal terbang atau kenderaan selesa, termasuk perjalanan menuju ke sana penuh dengan aman. Tidak ada rusuhan, tidak ada perkara membawa peperangan dan seumpamanya,” kata bekas Mufti itu menerusi perkongsian video di laman YouTube Tabung Haji. 

Selain itu, istito’ah untuk menunaikan haji juga merujuk kepada beberapa faktor yang penting iaitu termasuk mahram, kesihatan, kuota atau kebenaran haji daripada kerajaan Arab Saudi dan keselamatan.

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka