Kereta Terbabas Langgar Pokok, Seorang Wanita Dilapor Maut Manakala Anak Cedera
Seorang wanita dilapor maut, manakala anak lelakinya cedera selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 19, Jalan Segamat-Kuantan pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata bahawa kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki dua beranak itu terbabas.
Menurut Sinar Harian, mangsa difahamkan dalam perjalanan dari arah Tangkak menuju ke arah Keratong, Pahang.
“Ketika sampai di lokasi, kereta yang dipandu lelaki berusia 20 tahun itu telah hilang kawalan hingga terbabas lalu melanggar pokok di tepi jalan.
“Akibatnya, penumpang wanita berusia 50 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Segamat,” katanya.
Kata Ahmad Zamry lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Mansor Mohamad berkata panggilan kecemasan telah diterima pada jam 3.24 pagi.
Susulan panggilan itu, seramai tujuh anggota dari BBP Segamat dan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LRFT) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke tempat kejadian, didapati kemalangan jalan raya tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang telah terbabas. Mangsa tidak tersepit.
“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa keluar daripada kenderaan dan dibawa oleh pihak perubatan bagi menerima rawatan lanjut.
“Selain itu, terdapat seorang mangsa yang telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya seperti laporan Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian