Siakap Keli
Gambar: BPPTKG via X

Gunung Merapi ‘Muntah’ Hujan Abu

Gunung Merapi ‘Muntah’ Hujan Abu

Gunung Merapi di Boyolali, Jawa Tengah di Indonesia dilapor kembali ‘hidup’ setelah ‘memuntahkan’ kepulan asap tebal hingga menyebabkan kawasan sekitar dihujani ‘hujan abu’ pagi tadi.

Menurut kenyataan Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Bencana Geologi (BPPTBG), abu dari Gunung Merapi itu menghala ke arah timur kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Arista mengatakan bahawa kawasan kediamannya dilitupi dengan abu yang sangat nipis sehinggakan kebanyakan penduduk tidak menyedari kewujudannya.

“Hujan abu yang berlaku itu bukan saja berlaku pada pagi ini, ia juga telah berlaku semalam. Tetapi abu yang dikeluarkan amatlah nipis,” katanya kepada Solopos.

Dia juga mengatakan bahawa kejadian itu tidak menganggu aktiviti penduduk di situ walaupun ia turun dibawa angin.

Sebelum abu mula meliputi kawasan itu, Arista menjelaskan bahawa dia tidak mendengar sebarang bunyi dari Gunung Merapi.

Selain itu, seorang penduduk di Plukisan, iaitu Triyono juga mengatakan bahawa kawasannya turut dilanda hujan abu tersebut.

“Hujan abunya nipis, jadi mungkin penduduk tidak menyedarinya. Yang sedar akan kehadiran abu itu adalah penduduk yang berada di luar.

“Selepas masuk ke dalam rumah, kelihatan badan mereka diliputi sesuatu berwarna putih. Tempoh hujan abu itu berlaku adalah sekitar 10 minit,” ujarnya.

Dia juga menambah bahawa penduduk di kampungnya itu segera mencari rumput untuk diberi makan kepada ternakan mereka sekiranya hujan abu itu berlaku berterusan.

Seterusnya, penduduk di Sukabumi yang bernama Oddy, mengatakan bahwa hujan abu yang berlaku di kawasannya disertai dengan gerimis.

“Di sini tadi gerimis dan angin, hujan abunya pula nipis jadi kebanyakan orang tidak sedar mengenainya.

“Mereka mulai sedar apabila mereka keluar memakai jaket dan mendapati jaket mereka sudah kotor. Jelaslah pada mereka bahawa ia adalah hujan abu,” kata Oddy.

Dia juga mengatakan bahawa hujan abu tersebut tidak menganggu aktiviti penduduk kampung. Kenyataan ini sama seperti kenyataan seorang penduduk Penggung iaitu Dian.

“Hujan abunya sangat nipis. Tetapi, ia tetap berasaskan abu dan bahaya jika ia masuk ke saluran pernafasan. Jadi saya memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah,” katanya.

Hujan Abu Gunung Merapi

Berdasarkan informasi BPPTKG, Gunung Merapi telah mengeluarkan awan panas yang meliputi beberapa kawasan perkampungan pada pagi Ahad dengan amplitud maksimum 62mm.

Tempoh ia berlaku adalah selama 191.28 saat dan jarak gelongsor maksimum 2,000 meter ke barat daya atau Kali Bebeng. Gunung Merapi kelihatan berkabus dan angin menghala ke timur.

Sementara itu, keadaan cuaca ketika tempoh kejadian adalah mendung dan pergerakan angin adalah kelajuan biasa menuju ke arah barat dengan suhu udara 17.3 darjah celsius hingga 19 darjah celsius.

Kelembapan udara di Gunung Merapi pula adalah 63 hingga 99 peratus dengan tekanan udara sebanyak 873.1 hingga 919 mmHg, selain isipadu hujan 23mm sehari.

Selain itu, terdapat aktiviti seismik sebanyak 16 kali dengan amplitud 3 hingga 63mm dengan tempoh selama 73.04 hingga 163.8 saat. Berlaku juga tiga gempu bumi gunung berapi kecil dengan amplitud 27 hingga 77mm selama 7.9 hingga 13.2 saat.

Sumber: Solopos

BACA JUGA: 20 Maut Nahas Letupan Kilang Bunga Api Di Thailand

Nurul Alya