Siakap Keli
Gambar: Thai PBS World via Independent

20 Maut Nahas Letupan Kilang Bunga Api Di Thailand

20 Maut Nahas Letupan Kilang Bunga Api Di Thailand

Kira-kira 20 orang dilapor maut akibat kejadian letupan di sebuah kilang bunga api di Suphan Buri, Thailand sekitar 3.30 petang semalam, lapor ThaiPBS.

Ekoran kejadian yang berlaku 20 kilometer dari Bangkok itu, sekurang-kurangnya tujuh turut tercedera dan telah dibawa ke Hospital Chao Phraya Yommarat.

Kata gabenor wilayah, “Kami belum dapat memastikan sama ada semua pekerja kilang itu telah terkorban. Pegawai-pegawai sedang memasuki kawasan kilang untuk penyiasatan.

“Setakat ini, kami masih belum mejumpai sesiapa lagi yang mungkin terselamat,” katanya.

Menurut Kritsanda Manee-In bersama Yayasan Penyelamat Samerkun Suphan Buri, penyelamat sedang mengesahkan jumlah angka korban yang tepat ketika api sudah berada dalam keadaan terkawal.

Terdapat beberapa gambar yang dimuat naik di media sosial oleh penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Dalam gambar yang dimuat naik, kelihatan peninggalan kawasan kilang yang telah terbakar itu berdekatan dengan sawah padi.

Gambar: Thai PBS World via Independent

Kejadian yang berlaku itu turut mengundang Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin untuk mengarahkan siasatan segara.

“Perdana Menteri telah mengarahkan siasatan terhadap kilang tersebut untuk mengetahui sekiranya ia beroperasi dengan sah dan sama ada punca letupan itu adalah akibat kecuaian,” kata wakilnya.

“Undang-undang harus dikuatkuasakan kerana berlakunya kematian dan kecedaraan terhadap orang yang tidak bersalah,” tambahnya lagi.

Setakat dilaporkan, punca letupan itu masih belum diketahui lagi. Namun, kejadian itu berlaku semasa tempoh permintaan bunga api yang tinggi di negara itu ketika ini.

Insiden itu juga berlaku kurang sebulan dari sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada bulan Februari.

Bukan Letupan Kilang Pertama

Kejadian yang berlaku itu bukanlah yang pertama berlaku di Thailand. Pada Julai 2023, satu letupan yang besar telah berlaku di sebuah gudang bunga api. Letupan itu telah meragut 10 nyawa dan menyebabkan 100 lagi tercedera.

Letupan di wilayah Narathiwat itu berlaku di kawasan perumahan dan ia telah memusnahkan kira-kira 100 buah rumah yang berada dalam lingkungan 500 meter dari lokasi kejadian.

Sumber: Independent

BACA JUGA: Syarikat Didakwa Sengaja Pindah Pejabat Ke Gunung, ‘Paksa’ Pekerja Berhenti

Nurul Alya