Siakap Keli
Isteri Daim didakwa
Kredit BERNAMA

Isteri Daim Didakwa Tidak Isytihar Harta

Isteri Daim Didakwa Tidak Isytihar Harta

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na’imah, 66, isteri bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, M.Puravalen dan Alex Tan.

Terdahulu, Na’imah yang memakai baju kurung berwarna hijau berkata: ”saya faham pertuduhan dan mohon dibicarakan”, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pada 10 Jan lepas,  Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan bahawa kenyataan telah diambil daripada isteri dan anak-anak lelaki Daim untuk membantu siasatan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka