Siakap Keli
geng upik mahkamah
Gambar: FB PDRM

Tiga Lagi Geng Upik Bakal Dihadapkan Ke Mahkamah – TKPN

Tiga Lagi Geng Upik Bakal Dihadapkan Ke Mahkamah – TKPN

KUALA LUMPUR — Pihak polis masih menunggu tiga lagi  ‘Geng Upik’ yang kini dalam pusat pemulihan dan tahanan untuk didakwa di Mahkamah.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, salah seorang daripadanya adalah lelaki berusia 29 tahun yang kini masih berada dalam pusat pemulihan akhlak.

Manakala seorang lelaki dan wanita berusia 29 dan 28 tahun pula sedang menjalani hukuman penjara di Sabah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga individu tersebut bakal didakwa di mahkamah pada 1 Mac nanti.

“Ketiga-tiga mereka ini juga akan dituduh pada 1 Mac ini dalam prosiding yang akan datang kerana ketiga-tiga Orang Kena Tuduh (OKT) ini juga adalah anggota sindiket kumpulan Upik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung pembekuan aset dan penyitaan aset akaun bank dengan nilai RM9.72 juta.

BACA: Tujuh Jalan Sekitar Batu Caves Ditutup Sempena Thaipusam

“Terdapat 42 lagi pembekuan akaun bagi tempoh 27 Disember hingga 19 Januari berjumlah RM1.8 juta yang mana terdapat penambahan lagi lapan pembekuan akaun berjumlah RM543,000.

“Antara pemeriksaan yang dibuat melibatkan pemeriksaan premis, hartanah, perniagaan di 76 lokasi di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna dan juga Keningau,” katanya dalam sidang media berkenaan.

Pihak polis juga menyita 10 buah jentera bernilai RM590,000 dan 11 bidang tanah bernilai RM2.8 juta dalam pemeriksaan tersebut.

Turut disita sebanyak 20 buah kenderaan bernilai RM6.7 juta, wang tunai RM35,000 dan barang kemas RM100,000 dengan jumlah keseluruhan penyitaan bernilai RM6.9 juta.

Semalam, seramai 11 orang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang itu, lapor Sinar Harian.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2015 hingga 24 Disember 2023.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?