Berita Baik, Netflix Bakal Tayang Semua Program & “Live Events” WWE Raw
Syarikat penstriman, Netflix semalam mengumumkan bakal membawa masuk rancangan sukan hiburan, World Wrestling Entertainment’s Raw (WWE) ke platform itu pada awal tahun depan.
Netflix dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada kolaborasi jangka panjang bersama WWE Raw.
“Bermula Januari 2025, Netflix akan menjadi platform kepada WWE, bermula di Amerika Syarikat (AS), Kanada, United Kingdom dan Amerika Latin. Manakala tawaran untuk negara-negara lain akan ditambah dari semasa ke semasa.
“Seperti dalam perjanjian, Netflix juga akan menjadi platform untuk rancangan dan persembahan WWE di luar AS seperti yang tersedia.
“Ia termasuk rancangan mingguan Raw dan WWE yang lain seperti SmackDown dan NXT. Selain itu, Netflix juga akan menjadi penyiar rancangan Premium Live Events seperti WrestleMania, SummerSlam dan Royal Rumble,” maklum kenyataan tersebut.
Tambah Netflix, dokumentari mengenai program itu juga akan tersedia di platform penstriman tersebut selepas ini.
Gambar: AFP
BACA: Suspek Kes Bella Didakwa Hari Ini, Dibawah Seksyen 302
Ketua Pegawai Kandungan Netflix, Bela Bajaria berkata, syarikat itu merasa sangat teruja untuk menghubungkan peminat WWE dengan platform penstriman nombor 1 dunia itu.
“Kami teruja dengan kehadiran WWE Raw di platform ini serta peminatnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Dengan menggabungkan kemampuan capaian dan pengesyoran yang kami miliki serta pengguna setia Netflix dengan WWE, kami dapat menawarkan lebih banyak pilihan program kepada penonton.
“Raw adalah hiburan sukan terbaik yang menggabungkan atlet bintang dan penceritaan yang hebat dengan aksi langsung 52 minggu setahun.
“Kami sangat teruja dengan perkongsian jangka panjang bersama WWE ini,” maklum Bela.
WWE Raw
Untuk pengetahuan, WWE Raw adalah rancangan hiburan sukan paling ikonik dan nombor 1 di AS.
Rancangan ini yang mula diterbitkan pada 1993 merupakan sebuah rancangan yang sarat dengan drama dan aksi serta kepelbagaian atlet gusti yang ditampilkan.
Antara nama yang pernah menyinar di bawah rancangan ini adalah Dwayne Johnson “The Rock”, Steve Austin “Stone Cold”, Triple H, John Cena, Roman Reigns, Bianca Belair dan Charlotte Flair.
Setakat ini, lebih daripada 1,600 episod WWE sudah pun ke udara sejak dilancarkan.
Sumber: Netflix