Siakap Keli
suspek kes bella
Gambar: Sinar Harian

Suspek Kes Bella Didakwa Hari Ini, Dibawah Seksyen 302

Suspek Kes Bella Didakwa Hari Ini, Dibawah Seksyen 302

Suspek melibatkan kes kehilangan seorang wanita yang dikenali sebagai Bella bakal didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, lapor Sinar Harian.

Pendakwaan dibuat selepas polis mengesahkan rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada Jumaat lepas milik wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata pihaknya telah menerima laporan analisis DNA sampel patologi yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor Ahad lepas.

Laporan berkenaan mendapati keputusan sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak kepada ibu tunggal anak dua itu.

“Pihak polis telah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan telah mendapat arahan tuduh terhadap seorang daripada tangkapan dalam tahanan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya semalam.

Bella atau nama sebenarnya, Mira Sharmila Samsusah (32) telah dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lepas.

Mangsa gagal dihubungi selepas keluar untuk mencuci pakaian di kedai dobi dengan menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam.

Ketika itu, mangsa dikatakan keluar dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap.

Namun begitu, bermula tarikh berkenaan kelibat mangsa kemudian dilapor hilang dengan telefon mangsa gagal dihubungi.

Manakala mesej yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp juga menunjukkan satu tanda sahaja.

Menurut Sinar Harian, polis seterusnya berjaya menemui rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Rangka manusia tidak sempurna itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Bella.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, penemuan berkenaan dibuat selepas suspek utama kes kehilangan wanita itu membawa polis ke lokasi penemuan rangka berkenaan.

BACA: Mudah & Pantas, Tip Nak Hilangkan Rasa Pijar Cili Pada Tangan

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.