Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Telefon Prabowo Didakwa Diceroboh Secara Haram, Polis Indonesia Tetapkan Tiga Suspek

prabowo
Prabowo Subianto

Telefon bimbit Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, didakwa menjadi antara sasaran aktiviti pencerobohan haram sehingga membawa kepada penetapan tiga individu sebagai suspek dalam kes berkenaan.

Lebih mengejutkan, kegiatan menceroboh tanpa kebenaran itu turut didakwa menyasarkan nombor telefon beberapa pegawai negara, tokoh politik, pengamal media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli perniagaan.

Ketua Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polis Republik Indonesia, Komjen Asep Safrudin berkata, tiga individu yang dikenal pasti dengan inisial LSP, ASN dan EH telah ditetapkan sebagai suspek selepas pihaknya mengumpulkan bukti serta menjalankan pemeriksaan terhadap saksi.

Menurutnya, seorang lagi individu dikenali sebagai SU masih diperiksa sebagai saksi dalam kes berkenaan.

“Berdasarkan hasil siasatan menggunakan kaedah Penyiasatan Jenayah Saintifik (Scientific Crime Investigation) dan proses pengurusan pengendalian kes, penyiasat telah menetapkan tiga individu sebagai suspek dengan inisial LSP, ASN dan EH. Sementara seorang lagi masih diperiksa sebagai saksi, iaitu saudara SU,” katanya dalam sidang media di Jakarta pada Selasa, 3 November 2026.

Asep berkata, siasatan kes itu bermula selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pencerobohan sistem serta pemadaman data secara tidak sah pada penghujung Oktober 2026.

Susulan itu, Bareskrim telah memeriksa 10 saksi dan tiga saksi pakar selain merampas 11 unit telefon bimbit, sebuah iPad serta empat pemacu kilat sebagai bahan bukti.

Menurut Asep, ketiga tiga suspek dipercayai menyalahgunakan sistem Pengurusan Pemintasan Sah (Lawful Interception Management System) atau Saferlink milik polis sepanjang tempoh 2025 hingga 2026.

Aktiviti penyadapan itu didakwa dilakukan tanpa permohonan rasmi daripada penyiasat atau lampiran laporan polis yang sah seperti ditetapkan undang-undang.

“Terhadap para suspek, mereka didakwa melakukan penyadapan tanpa prosedur atau penyadapan haram terhadap nombor telefon Presiden Republik Indonesia, pegawai negara, tokoh politik, media, pemimpin pertubuhan masyarakat, NGO dan ahli perniagaan,” katanya.

Bagi menghapuskan bukti kegiatan berkenaan, para suspek turut didakwa mengarahkan pemadaman fail hasil penyadapan daripada sistem LIMS pada Oktober 2026.

Asep menegaskan, tindakan itu melanggar Peraturan Ketua Polis Republik Indonesia Nombor 5 Tahun 2010 yang menetapkan aktiviti pemantauan perlu mematuhi prinsip perlindungan hak asasi manusia, kesahan, kepastian undang-undang dan kerahsiaan.

Berikutan itu, ketiga tiga suspek berdepan beberapa pertuduhan mengikut undang-undang negara berkenaan.

Antaranya ialah Perkara 25 dan Perkara 258 Undang Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan perbuatan mendengar, merakam, mengalihkan, mengubah, menghalang atau merekodkan penghantaran maklumat elektronik bukan untuk umum secara menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Mereka turut disiasat mengikut Perkara 332 perenggan 1 dan atau perenggan 2 undang-undang sama berkaitan akses tanpa hak terhadap komputer atau sistem elektronik milik orang lain, yang membawa hukuman penjara sehingga enam tahun.

Selain itu, pertuduhan mengikut Perkara 32 perenggan 1 Undang Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE) turut dikenakan berkaitan perbuatan mengubah, merosakkan, menghapuskan, memindahkan atau menyembunyikan maklumat elektronik milik orang lain atau milik awam tanpa kebenaran.

Kesalahan berkenaan membawa hukuman penjara sehingga lapan tahun.

“Terhadap para suspek, kami telah menahan mereka di rumah tahanan Markas Besar Polis Republik Indonesia,” katanya.

Intipati
  • Telefon Prabowo Subianto didakwa antara sasaran penyadapan haram yang disiasat polis Indonesia.
  • Tiga individu ditetapkan sebagai suspek, manakala seorang lagi masih diperiksa sebagai saksi.
  • Suspek dipercayai menyalahgunakan sistem Saferlink dan didakwa mengarahkan pemadaman fail penyadapan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan