Bekas Ketua Polis Negara Indonesia yang dipecat minggu ini daripada jawatan terbaharunya sebagai Ketua Staf Presiden mungkin telah melakukan perbuatan 'pengkhianatan terhadap negara' susulan dakwaan penglibatannya dalam kegiatan mengintip perbualan telefon Prabowo Subianto.
Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi berkata demikian ketika mengulas penahanan Listyo Sigit Prabowo pada Selasa.
Bekas Ketua Polis Indonesia ditahan
“Apa yang dilakukan itu mungkin termasuk dalam kategori tindakan yang boleh dianggap menjurus kepada pengkhianatan terhadap negara.
“Tindakan ini juga membahayakan keselamatan dan kepentingan negara, termasuk mengancam keselamatan pemimpin negara,” katanya.
Pada Selasa, Polis Negara Indonesia mengumumkan penahanan Listyo bersama dua lagi pegawai kanan polis kerana disyaki melakukan kegiatan mengintip perbualan telefon Prabowo, pegawai kerajaan, ahli politik, wartawan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan.
Pegawai penyiasat kanan, Asep Safrudin berkata kegiatan itu dilakukan tanpa sebarang asas undang-undang atau tanpa melalui sebarang proses penyiasatan atau siasatan awal mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Prabowo yang mula memegang jawatan Presiden pada 2024, berdepan tekanan yang semakin meningkat berhubung cara kerajaannya menangani ekonomi dan kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan di negara kepulauan Asia Tenggara itu.

Bekas jeneral tentera tersebut melakukan rombakan Kabinet buat kali ketujuh pada bulan lalu dengan melantik Listyo, 57, sebagai Ketua Staf Presiden.
Sebelum pelantikan itu, Listyo berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara ketika tempoh kegiatan mengintip perbualan telefon yang didakwa berlaku, yang menurut penyiasat bermula pada 2025.
Pada Rabu, Prasetyo berkata, motif di sebalik kegiatan mengintip perbualan telefon itu masih belum diketahui.
“Apabila kita bercakap mengenai ketua negara... terdapat banyak maklumat yang sememangnya sangat sensitif, yang boleh membahayakan... kepentingan serta kekuatan bangsa dan negara,” katanya.
Prasetyo turut menambah bahawa Presiden telah menyuarakan kebimbangan yang amat mendalam berhubung kes tersebut.
