Siakap Keli
malaysia seri korea selatan
Gambar: FIFA

Seri Dengan Korea Selatan: Penutup Terindah Kempen Piala Asia 2023 Buat Malaysia

MENGUJAKAN! Itulah frasa paling tepat ditujukan buat Harimau Malaya apabila berjaya menutup kempen Piala Asia 2023 dengan mata sulung pertama yang paling berharga buat negara.

Skuad kendalian Kim Pan Gon pada malam ini membuktikan kemampuannya walaupun diasak kritikan demi kritikan atas dua siri kekalahan berturut-turut peringkat kumpulan sebelum ini.

Lebih memilukan, Malaysia gagal mencatat sebarang mata selepas diaibkan dua kali oleh pasukan gergasi Asia, Jordan dan Bahrain sehingga disahkan tersingkir dan ‘bersedia’ untuk pulang ke tanah air.

Namun! Tidak disangka Harimau Malaya pada malam ini nampaknya bagaikan dirasuk pepatah Melayu, ‘Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

Bertemu pasukan ranking ke-23 dunia, Korea Selatan dengan kesebelasan utama terkuat bukanlah sesuatu yang mudah, akan tetapi api semangat yang masih belum terpadam membuatkan Malaysia berani melakukan kejutan.

Meskipun ketinggalan 0-1 seawal minit ke-22, Faisal Halim berjaya menyumbang jaringan pertama negara pada awal separuh masa kedua, sebelum disusuli Arif Aiman menerusi sepakan penalti.

Keadaan semakin gawat apabila kedudukan kembali seri dan saling berbalas serangan sehingga minit permainan sudah pun menjengah ke angka 90.

Keputusan kalah hampir pasti dilaung apabila bintang Spurs, Son Heung-min merobek gawang Malaysia pada masa kecederaan (minit ke-94).

Mungkin pada sesetengah penyokong, jika sudah hujung waktu begini, apa lagi yang mahu diharapkan?

Walau bagaimanapun sangkaan sudah kalah ternyata meleset apabila Romel Morales yang dimasukkan pada saat-saat genting permainan menyumbang satu gol berharga untuk mengikat kedudukan seri kedua-dua pasukan!

Wisel penamat ditiupkan, keputusan seri diberikan kepada dua pihak, maka akhirnya bergemalah langit Qatar dengan laungan sorakan ekor Harimau Malaya sejati atas satu mata berharga pertama negara.

Perlawanan tamat dengan keputusan 3-3. Demikianlah penutup kempen Piala Asia 2023 peringkat kumpulan yang diharungi Malaysia malam ini.

Inilah orang kata, kalah dua kali, yang ketiga pasti bangkit. Seri bukan sekadar seri, tapi usaha yang ditonjolkan pemain negara malam ini adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan!

Terima kasih Harimau Malaya. Bersedia untuk Piala Asia yang seterusnya, mungkin waktu itu kita yang punya?

SELAMANYA HARIMAU MALAYA!

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'