Siakap Keli
wanita beridah lebih rumah
Gambar: Bernama

Ada Lebih Dari Satu Rumah, Tempat Mana Wanita Beridah Perlu Menetap? 

Ada Lebih Dari Satu Rumah, Tempat Mana Wanita Beridah Perlu Menetap? 

Seperti yang diketahui, setiap manusia diciptakan secara berpasangan. Disebabkan itu, wujudnya kehidupan berumahtangga iaitu kehidupan bersama pasangan.

Meskipun setiap pasangan telah sah diikat dengan lafaz ijab dan qabul, namun jodoh dan ajal adalah rahsia Allah SWT. Kadangkala, ikatan yang dibina bersama tidak bertahan lama sama ada melalui penceraian ataupun kematian.

Dalam Islam, mana-mana isteri yang diceraikan atau kematian suami akan berada dalam satu tempoh yang dipanggil ‘idah’. Sepanjang tempoh ini, kaum muslimah tidak boleh berkahwin dan terdapat beberapa perkara lagi yang tidak boleh dilakukan.

Oleh itu, timbul persoalan mengenai tempat wanita ber’idah’ yang menetap melebihi satu rumah? Tanpa membuang waktu, mari kita ikuti topik ini oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Hukum Tempat Wanita Menetap Dalam Keadaan Idah Lebih Daripada Satu Rumah

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai tempat untuk wanita yang kematian suami menetap ketika tempoh iddah sekiranya rumah perkahwinannya terdapat lebih dari satu. Adakah wanita tersebut dibenarkan untuk memilih mana-mana rumahnya untuk menetap bagi menghabiskan tempoh ‘idah?

Sekian terima kasih.

BACA: Hukum Lelaki Ajnabi Pegang Rambut Wanita Yang Sudah Dipotong

RINGKASAN JAWAPAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa wanita dalam keadaan idah tidak boleh(haram) berpindah selain dari rumah suaminya sesuka hati dan tanpa keuzuran syar’ie. Dia wajib menunaikan idahnya selama empat bulan 10 hari di rumah perkahwinannya itu. Namun begitu, sekiranya pasangan tersebut mempunyai rumah perkahwinan lebih dari satu, maka terdapat beberapa keadaan.

Pertama, jika suami mengizinkannya untuk menetap di rumah yang kedua dan berlaku perpisahan sama ada dia belum sampai ke rumah kedua itu atau sudah sampai, maka isteri wajib menunaikan idah di rumah yang kedua. Keduanya, sekiranya suami mengizinkannya untuk berpindah ke rumah yang kedua, namun berlaku perpisahan sebelum sempat dia berpindah meskipun sudah mengirim barang-barang dan pembantunya ke sana, maka isteri perlu menunaikan idah di rumah yang pertama. Hal ini kerana perpisahan yang mewajibkan idah ke atas isteri tersebut berlaku di rumah yang pertama.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menurut Sheikh Abu Bakar Shata al-Dimyati pengertian idah ialah tempoh bagi seseorang wanita untuk menunggu untuk mengetahui kesucian rahimnya daripada kandungan atau semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi)[1].

(Rujuk: ‘Ianah al-Talibin, 4/45)

BACA JUGA: Apa Hukum Terpijak Bekas Najis Yang Tidak Kelihatan

Tempoh idah bagi wanita kematian suami adalah empat bulan 10 hari. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:     

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Bermaksud: Orang-orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. 

Al-Baqarah (234)

Menurut Imam al-Tabari berkenaan ayat يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ di atas bermaksud mereka (wanita ‘iddah) mengurung (menahan) diri mereka daripada berkahwin, memakai wangi-wangian dan barang perhiasan serta berpindah dari tempat kediaman yang mereka diami ketika alam perkahwinan untuk tempoh empat bulan 10 hari melainkan sekiranya mereka sedang hamil, maka mereka harus menunggu sehingga waktu bersalin. Tamatnya tempoh idah bagi wanita dalam situasi ini sejurus selepas bersalin.[2]          

(Rujuk: Jami’ al-Bayan, 5/79)

Hal ini juga dinyatakan oleh Imam al-Ramli:

(و) إنَّما (تُسَكَّنُ).. المعتدةُ حيث وجب سكناها (في مسكنٍ) مستحَق للزوج لائق بها (كانت فيه عند الفرقة) بموت أو غيره

Bermaksud: Wanita yang dalam tempoh idah wajib mendiami rumah sesuai dengan pasangan berkahwin dan selayak dengannya yang dia berada ketika berlakunya perpisahan sama ada dengan kematian atau selainnya.

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 155/7)

BACA JUGA: Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli

Namun begitu, sekiranya terdapat beberapa rumah perkahwinan seperti seorang suami mempunyai dua buah rumah atau lebih dan dia mengizinkan isterinya sebelum dia meninggal dunia untuk berpindah dari rumah pertama ke rumah kedua, kemudian suaminya meninggal dunia ketika dia berada di rumah yang kedua, maka dia perlu melangsaikan idahnya di situ kerana suami sudah mengizinkannya untuk berpindah. Hal ini menurut Imam al-Ramli:

(ولو) (انتقلت إلى مسكن) في البلد (بإذن الزوج فوجبت العدة) في أثناء الطريق بطلاق، أو فسخ، أو موت (قبل وصولها إليه) أي المسكن (اعتدت فيه) لا في الأول (على النص) في “الأم”؛ لأنَّها مأمورة بالمقام فيه ممنوعة من الأول…. أمَّا إذا وجبت العدة بعد وصولها فتعتد فيه جزمًا اهـ.

Bermaksud: Sekiranya isteri berpindah ke satu tempat tinggal dalam satu negeri dengan keizinan suami dan perlu menunaikan idah ketika dalam perjalanan disebabkan talak atau fasakh atau kematian sebelum sempat dia sampai ke rumah itu, maka dia perlu menunaikan idah di tempat tinggal (kedua) itu tidak pada rumah yang pertama berdasarkan kenyataan Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Umm; ini kerana isteri disuruh untuk menetap di situ dan dilarang menetap di rumah pertama… Manakala sekiranya perlu menunaikan idah setelah sampai (ke rumah yang kedua) maka dia perlu menunaikan idah di situ secara pasti.

BACA: Hukum Bergurau Senda Bersama Keluarga Dan Orang Ramai

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 7/158)

Sekiranya dia (isteri) mengetahui kematian suaminya sebelum berpindah ke rumah kedua yang diizinkan suaminya, maka dia tidak boleh berpindah. Imam Khatib al-Syarbini ada menjelaskan perkara ini:

(وكذا) تعتد أيضًا في الأول و(لو أذن) لها في الانتقال منه (ثم وجبت) عليها العدة (قبل الخروج) منه وإن بعثت أمتعتها وخَدَمها إلى الثاني؛ لأنه المنزل الذي وجبت فيه العدة اهـ.

Bermaksud: Begitu juga isteri perlu menunaikan juga idah di rumah yang pertama meskipun (suami) mengizinkannya untuk berpindah dari rumah tersebut. Kemudian dia perlu menunaikan idah ke atasnya sebelum dia keluar dari rumah tersebut meskipun dia sudah mengirim barang-barangnya dan pembantunya ke rumah yang kedua kerana rumah (pertama) itu ialah tempat berlaku sebab yang mewajibkan idah.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 5/108)

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa wanita dalam keadaan idah tidak boleh(haram) berpindah selain dari rumah suaminya sesuka hati dan tanpa keuzuran syar’ie. Dia wajib menunaikan idahnya selama empat bulan 10 hari di rumah perkahwinannya itu. Namun begitu, sekiranya pasangan tersebut mempunyai rumah perkahwinan lebih dari satu, maka terdapat beberapa keadaan.

Pertama, jika suami mengizinkannya untuk menetap di rumah yang kedua dan berlaku perpisahan sama ada dia belum sampai ke rumah kedua itu atau sudah sampai, maka isteri wajib menunaikan idah di rumah yang kedua. Keduanya, sekiranya suami mengizinkannya untuk berpindah ke rumah yang kedua, namun berlaku perpisahan sebelum sempat dia berpindah meskipun sudah mengirim barang-barang dan pembantunya ke sana, maka isteri perlu menunaikan idah di rumah yang pertama. Hal ini kerana perpisahan yang mewajibkan idah ke atas isteri tersebut berlaku di rumah yang pertama.

Wallahu A’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.