Ini Lima Fakta Menarik Tentang YDPA Ke-17, DYMM Sultan Johor
Selepas lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, semalam adalah tarikh rasmi tamatnya penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Semalam juga kita telah menyaksikan istiadat khas iaitu Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai simbolik keunikan institusi diraja.
Selepas tamatnya pemerintahan Al-Sultan Abdullah semalam, maka pada hari ini kita akan menyaksikan satu lagi istiadat angkat sumpah YDPA ke-17 yang baharu.
Sultan Johor Sultan Ibrahim dijadual mengangkat sumpah jawatan YDPA ke-17 yang baru bagi tempoh sepenggal atau lima tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Sultan Johor yang cukup dikenali dengan sifat tegas pasti akan menjadi lakaran sejarah terbaru sebagai pemerintah utama negara.
Pun begitu, pasti masih ramai yang tidak tahu tentang keperibadian baginda yang cukup disayangi oleh rakyat Johor ini.
Justeru, penulisan SK pada hari ini akan berkongsikan tentang lima fakta menarik tentang Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai YDPA yang baharu.
Diputerakan pada 22 November 1958
Baginda Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 dan merupakan anakanda ketiga dan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.
Terlibat aktif dalam latihan ketenteraan sejak di usia muda
Baginda mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA dan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder‘.
Ketika sesi latihan tersebut, baginda telah membuat 19 terjunan payung terjun, di mana lapan darinya dilakukan pada waktu malam.
Pernah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintahan Askar Timbalan Setia Negeri
Tuanku pada sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintahan Askar Timbalan Setia Negeri dan menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Penglibatan Tuanku kemudiannya dikurniakan dan menerima sayap pada 26 April 1982.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga pernah menyertai latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia Lumut selama tiga bulan.
Penglibatan Tuanku dalam latihan itu sekali gus melengkapkan Tuanku sebagai Raja yang memiliki pengalaman dalam ketiga-tiga bidang ketenteraan. Tiga bidang ketenteraan itu adalah pegawai tentera darat, laut dan udara.
Dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981
Sultan Ibrahim telah dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 ketika berusia 23 tahun. Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989 kemudiannya, Tunku Ibrahim telah dilantik sebagai Pemangku Raja.
Lantikan itu dibuat selepas ayahanda Tuanku, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Ayahanda kepada enam cahaya mata
Baginda mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.
Hasil perkahwinan itu, keluarga diraja ini kemudiannya dikurniakan enam orang cahaya mata.

a)Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
b)Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim
c)Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor
d)Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
e)Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
f)Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Untuk makluman, Sultan Ibrahim juga adalah merupakan kakanda kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah yang juga Tengku Puan Pahang.