Siakap Keli
pengampunan najib
Gambar: Bernama

Isu Pengampunan Najib Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet – Fahmi 

Isu Pengampunan Najib Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet – Fahmi 

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) — Isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil .

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu bagaimanapun berkata sebarang ketetapan mengenai perkara tersebut termasuk kenyataan media hanya akan dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan berhubung permohonan pengampunan Najib.

“Saya minta bantuan semua, janganlah kita bertindak sebelum masanya dan tunggu kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Patuhi proses itu, kalau tidak nanti timbul pelbagai reaksi. Kita perlu tunjuk profesionalisme dalam buat pelaporan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

BACA: Kumpul 176 Mata, Liga Malaysia Di “Ranking” Ke-87 Dunia

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa Channel NewsAsia  (CNA) bahawa Najib telah diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.

Media itu, yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib atas pertuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas bermesyuarat pada Isnin lepas.

Selain itu, keputusan Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong menyaksikan pengurangan denda RM210 juta (US$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, demikian menurut tiga sumber yang bercakap kepada CNA dengan syarat kerahsiaan ketat.

Fahmi juga berkata beliau telah bertemu dengan wartawan CNA susulan laporan itu.

Ditanya bila kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan akan dikeluarkan, beliau berkata “kita harap tidak lama lagi, itu sahaja yang dapat saya katakan… anda dan saya perlu tunggu.”

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?