Siakap Keli
kereta tersangkut jambatan
Gambar via The Thaiger

Kereta Tersangkut Di Jambatan Usang Gara-gara Leka Tengok GPS

Kereta Tersangkut Di Jambatan Usang Gara-gara Leka Tengok GPS

Seorang wanita di Thailand berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya tersangkut pada jambatan patah di Phrae pada Ahad gara-gara mengikuti jalan yang ditunjukkan pada aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Lapor The Thaiger, Pasukan Penyelamat Sung Men berjaya mengeluarkan wanita berumur 38 tahun itu daripada sebuah kereta sedan miliknya selepas penduduk tempatan membuat laporan.

Pasukan penyelamat itu berkata kereta tersebut berada kira-kira 15 meter dari penghujung jambatan dengan tayar kiri hadapan keretanya tersangkut di antara papan jambatan yang telah rosak.

Menurut laporan, wanita itu telah mendedahkan bahawa dia pertama kali menjejakkan kaki di kawasan tersebut kerana mahu melawat rakannya.

Jelasnya, GPS tersebut telah membawanya ke jambatan yang usang dan dia tidak menyedari bahawa terdapat jambatan lain kira-kira 30 hingga 40 meter dari jambatan yang lama itu.

Dia sebaliknya mempercayai bahawa GPS itu membawanya ke jalan yang betul dan telah memandu keretanya melintasi jambatan usang itu.

Walaupun berjaya menyeberangi jalan menggunakan jambatan usang namun setibanya di seberang sungai, tiada jalan yang boleh dilalui olehnya.

Disebabkan itu, wanita itu bertindak untuk patah balik dan memandu semula ke seberang jalan yang telah dilalui.

Bagaimanapun, ketika dia sedang memandu salah satu papan pada jambatan usang itu telah patah dan menyebabkan keretanya tersangkut.

Leka melihat GPS

“Saya leka melihat GPS dan tidak sedar bahawa terdapat jambatan yang baru. Saya fikir jambatan lama itu mampu menampung sebuah kereta sehinggalah kejadian itu berlaku.

“Saya rasa terkejut dan takut kereta saya akan jatuh ke dalam sungai. Saya keluar dari kereta untuk meminta bantuan penduduk tempatan.

“Saya bukannya orang tempatan dan tidak tahu jalan di sini. Saya harap pada masa akan datang, mereka akan letak papan tanda sebagai amaran untuk tidak menggunakan jambatan ini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan yang telah menyaksikan kejadian itu berkata dia tidak sempat menghentikan wanita itu daripada menyeberangi jambatan tersebut.

Menurutnya, jambatan itu berumur kira-kira 40 tahun dan hanya pejalan kaki serta penunggang motosikal saja yang boleh menggunakannya.

Dia juga bersetuju bahawa papan tanda harus diletakkan di situ supaya mereka yang memandu kereta tidak akan menggunakan jambatan lama itu.

Sumber: The Thaiger

BACA JUGA: Wanita Indonesia Maut, Dijumpai Di Tepi Tangga

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: