Siakap Keli
pakaian istiadat diraja
Kredit: Astro Awani

Ingatkan Tengkolok Sahaja, Ini 7 Pakaian Istiadat Diraja Perlu Diketahui

Ingatkan Tengkolok Sahaja, Ini Tujuh Pakaian Istiadat Diraja Perlu Diketahui

Pakaian istiadat diraja merupakan pakaian yang dipakai oleh golongan diraja ketika menghadiri majlis istiadat yang dijalankan secara formal.

Antaranya seperti, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Perkahwinan Diraja dan lain-lain lagi.

Apabila menyebut tentang pakaian istiadat diraja, rata-ratanya bakal membayangkan bentuk tengkolok dalam fikiran masing-masing.

Akan tetapi, pakaian isitiadat tidak terhad terhadap aksesori kepala itu sahaja. Berikut merupakan tujuh pakaian istiadat diraja yang perlu anda ketahui.

1. Tengkolok Diraja

pakaian istiadat diraja
Kredit: Astro Awani

Semenjak beberapa kurun lamanya, Raja-raja Melayu telah memakai tengkolok sebagai pakaian kebesaran. Tengkolok adalah kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di ulunya, .

Menariknya, bentuk ikatan atau nama lainnya, solek dan warnanya adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri.

Tengkolok Diraja yang berwarna hitam bersulam benang emas dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada beberapa majlis istiadat.

Antaranya, Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi, lawatan -lawatan rasmi Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri di Malaysia dan semasa Perasmian Pembukaan Sesi Penggal Persidangan Parlimen.

Solek pada Tengkolok Diraja ini pula dinamakan ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan. Manakala, anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dipasang pada hadapan tengkolok.

2. Muskat

Kredit: Astro Awani

Muskat merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara.

Pakaian yang diperbuat dari benang hitam dengan sulaman benang emas ini dikatakan berasal dari Negara Muskat, sebuah negara berdekatan Iran.

Sebelum ini, pakaian ini telah menjadi pakaian rasmi bagi kerajaan negeri Kedah sahaja, namun selepas pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga, pakaian ini diangkat sebagai pakaian rasmi.

Seperti tengkolok Diraja, baju ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan, Hari Ulangtahun Keputeraan baginda, lawatan-lawatan rasmi ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan semasa Perasmian Sesi Penggal Persidangan Parlimen.

3. Mess Kit

Kredit: Astro Awani

Mess kit merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika menghadiri majlis santapan malam beristiadat.

Mess Kit telah diwujudkan selari dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya yang bertanggal pada 20 Februari 2009.

Cadangan reka bentuk Mess Kit telah disediakan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri.

Seterusnya, cadangan ini telah diangkat untuk disembah perkenan dalam Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja Ke-222 pada 12 Oktober 2009.

Setelah mengambil kira pandangan dan nasihat, akhirnya Mess Kit tersebut telah sempurna disiapkan dan disembahkan pada 24 November 2011.

Dengan ini, Mess Kit menjadi salah satu daripada pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selain Muskat.

4. Pending Diraja

Kredit: Astro Awani

Pending Diraja ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan permata delima.

Manakala, di tengah-tengah Pending Diraja pula, tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Bagi tali bengkungnya, bahagian ini diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

5. Keris Pendek Diraja

Kredit: Astro Awani

Keris Pendek Diraja merupakan aksesori diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas.

Pada bahagian hulu keris, bahagian ini dinamakan sebagai ‘Hulu Pekaka’ dan memiliki rupa seperti kepala burung ‘Garuda’.

Bahagian sampir keris ini pula diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Untuk makluman, keris ini adalah salah satu pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, kedua-duanya hanya boleh dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

6. Gendik Diraja

Kredit: Astro Awani

Gendik (Pemeles) adalah pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang berbentuk seperti tiara.

Aksesori kepala ini diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Manakala, terdapat bentuk anak bulan dan bintang di tengah-tengah gendik ini.

Aksesori ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bebeza dengan tiara biasa, gendik ini diperbuat khas supaya boleh aksesori ini diceraikan untuk menjadi loket dan kerongsang.

7. Kalung Diraja

Kredit: Astro Awani

Salah satu aksesori wanita, Kalung Diraja adalah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Sama seperti Gendik sebelum ini, aksesori ini diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian.

Kalung Diraja akan dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan ketika waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tidak seperti rantai leher tipikal, kalung ini boleh diceraikan menjadi beberapa aksesori lain seperti sepasang subang, keronsang dan kerabu.

BACA: Ini Cara Mudah Semak Status Permohonan STR 2024

Sumber: Laman Web Istana Negara

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma