Pasangan Kekasih Dihukum Mati Oleh Mahkamah di China
Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati pada Rabu terhadap pasangan kekasih atas kesalahan membunuh dua orang kanak-kanak di Perbandangan Chongqing, China pada 2 November 2020, lapor Xinhua.
Mahkamah Agung Rakyat (SPC) menetapkan hukuman mati buat pasangan tersebut selepas mendapati mereka bersalah kerana melemparkan dan menyebabkan dua anaknya terjatuh dari tingkap pada hari kejadian.
Menurut laporan, bapa kepada dua kanak-kanak tersebut telah menjalani hubungan sulit bersama seorang wanita tanpa memberitahu tenatng status perkahwinan dan anaknya.
Setelah menceraikan isterinya, kekasih kepada lelaki itu mula menganggap anak-anaknya sebagai penghalang kepada kebahagiaan mereka berdua.
Wanita tersebut turut mengetepikan hakikat bahawa lelaki itu dan bekas isterinya telah mewujudkan perjanjian hak penjagaan untuk anak perempuan mereka yang berumur dua tahun dan anak lelakinya yang berusia setahun.
Pasangan tersebut kemudiannya merancang untuk membunuh dua kanak-kanak itu dengan cara yang dilihat tidak disengajakan.
Wanita tersebut berulang kali memaksa lelaki itu supaya mempercepatkan pembunuhan yang dilabelkan sebagai tidak sengaja itu.
Bagaimanapun, lelaki itu bertindak untuk melakukan perkara keji itu selepas bekas isterinya tiada di rumah pada hari kejadian.
Pasangan kekasih itu meneruskan rancangan mereka dan menyebabkan kematian tragis terhadap dua kanak-kanak itu dengan membuangnya daripada tingkap di tingkat 15.
BACA JUGA: Nekad Baling Minyak Petrol Sebab Tak Dapat Beli Bunga Api
Mahkamah menyifatkan mereka berdua mempunyai motif jenayah yang berniat jahat dan kes itu juga dilakukan dengan kaedah yang sangat keji, kejam dan memberikan akibat yang buruk.
Mereka telah dihukum dengan sewajarnya mengikut undang-undang, menurut SPC.
Sementara itu, ibu mangsa mendakwa bahawa bekas suaminya itu telah meminta untuk menjaga anak-anaknya pada hari kejadian, menurut siaran media China,
“Apabila saya mendapati anak-anak saya telah dicampak keluar dari tingkat 15 oleh bapa mereka, tiada satu perkaatan yang boleh gambarkan perasaan saya.
“Saya tidak dapat bayangkan apakah yang dilalui oleh anak-anak saya saat mereka jatuh dari tingkat 15 ke tanah. Adakah mereka rasa takut?” kata ibunya.
Selain itu, ibu mangsa menyatakan bahawa bekas suaminya itu telah menangis ketika perbicaraan di mahkamah dan telah memohon maaf atas perbuatan terkutuknya itu. Manakala kekasihnya pula berulang kali menolak tuduhan terhadap dirinya.
Hukuman pasangan itu telah menjadi topik yang hangat di media sosial China iaitu Weibo dengan tontonan sebanyak 200 juta.
Sumber: Xinhua Net, NDTV World, Daily Mail