Siakap Keli
lelaki baling petrol
Gambar: Sinar Harian

Nekad Baling Minyak Petrol Sebab Tak Dapat Beli Bunga Api

Nekad Baling Minyak Petrol Sebab Tak Dapat Beli Bunga Api

KLANG — Seorang lelaki nekad membaling botol berisi minyak petrol di sebuah gerai jualan sehingga mencetuskan kebakaran di tepi jalan Pekan Baru, Taman Eng Ann pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada individu terbabit yang tidak dapat membeli bunga api kerana tidak cukup duit.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Khairi Shafie, kira-kira pada jam 4.30 petang, seorang lelaki yang juga warga tempatan menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah telah datang ke sebuah gerai di lokasi kejadian bagi membeli bunga api.

Kata Mohd Khairi, suspek kemudiannya telah meminta mangsa yang merupakan seorang peniaga limau dan mercun membungkus bunga api itu. Bagaimanapun, suspek ketika itu tidak mempunyai wang untuk membayar.

“Disebabkan tidak mempunyai wang, mangsa yang merupakan pemilik gerai telah mengambil semula bungkusan bunga api yang mahu dibeli oleh suspek.

“Namun sekitar jam 7 petang, suspek telah datang semula ke gerai dan membaling satu botol dipercayai mengandungi minyak petrol ke arah gerai milik pengadu.

“Tindakan lelaki tersebut telah mengakibatkan sebahagian gerai dan barangan jualan telah terbakar,” maklumnya dalam satu kenyataan.

BACA: Tiada Perbincangan Bawa Kembali Perlumbaan F1 Ke Malaysia – Petronas

Tambahnya, kebakaran tersebut berjaya dikawal oleh pasukan bomba dan mangsa telah membuat laporan polis.

Mohd Khairi memaklumkan, suspek telah berjaya ditangkap di Taman Karuppiah, Padang Jawa. Tangkapan dibuat pada jam 1 tengah hari tadi berdasarkan maklumat yang diperolehi.

Hasil semakan mendapati, lelaki berusia 25 tahun itu yang merupakan seorang penganggur mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh salurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.