Pemandu Halang Ambulans, Mempunyai Masalah Pendengaran
Sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang didakwa menghalang laluan sebuah ambulans di Jalan Tanjung Kidurong di Sarawak pada Selasa lalu dilaporkan mengalami masalah pendengaran.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu berkata pihaknya telah mengambil tindakan dengan mengesan pemandu kenderaan tersebut susulan kejadian itu menjadi tular dalam kejadian kira-kira 4:42 petang.
“Pemandu kenderaan tersebut difahamkan mengalami masalah pendengaran dan alat pembantu pendengarannya tidak berfungsi dengan baik pada waktu itu.
“Pemandu tersebut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik pada Rabu.
Tambahnya, pemandu kenderaan itu telah disaman di bawah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59 iaitu kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans bersiren bergerak terus.
Susulan kejadian itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang serta peraturan jalanraya.
“Semua lalu lintas hendaklah memberikan laluan kepada kenderaan ambulans, polis dan bomba apabila siren amaran dikeluarkan,” ujarnya.
Pada Januari lalu, seorang pemandu yang dipercayai menghalang laluan sebuah ambulans di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman di Kuching telah dikenakan tindakan oleh polis.
“Pada Jumaat lalu sekitar jam 3 petang, telah tular sebuah video di media sosial mengenai sebuah kenderaan yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan pemandunya,” katanya Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie.
Sumber: PDRM Bintulu
BACA JUGA: Kanak-kanak Perempuan 5 Tahun Maut Tertinggal Dalam Kereta