Siakap Keli
Gambar: Bernama

Isteri Taib Mahmud Rayu Hentikan Tuduhan & Sangkaan Jahat Terhadapnya

Isteri Taib Mahmud Rayu Hentikan Tuduhan & Sangkaan Jahat Terhadapnya

Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merayu kepada orang ramai agar menghentikan tuduhan dan sangkaan jahat terhadap dirinya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata sedemikian dalam satu surat terbuka terhadap pihak media. Ia susulan dakwaan atas tindakannya yang dipercayai melarikan bekas Ketua Menteri Sarawak dari hospital baru-baru ini.

Toh Puan Raghad Kurdi Taib berkata, beliau menyedari litupan berita berkenaan insiden melarikan suaminya dari sebuah hospital pakar.

“Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita portal dalam media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.

“Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini,” jelasnya.

Raghad seru orang ramai untuk tidak mudah percaya terhadap khabar angin berkenaan dirinya

Selain itu, Raghad turut merayu agar orang ramai tidak mudah mempercayai sebarang desas- desus yang mengatakan beliau akan melarikan diri.

“Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah.

“Dengan ini, saya harap anda semua dapat berkumpul dan mendoakan Tun Taib. Terima kasih,” katanya.

Sejak semalam, kandungan sebuah portal berita yang mendakwa Raghad telah melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar telah tular di media sosial.

Wanita asal Syria tersebut didakwa telah mencabut segala alat kelengkapan rawatan yang dipasang pada badan suaminya.

Bukan itu sahaja, salinan laporan polis oleh pihak hospital berkenaan dan foto Abdul Taib yang sedang dirawat turut tular.

Pada petang semalam, Raghad memaklumkan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap dirinya adalah tidak benar dan bersifat jahat.

Menerusi hantaran di media sosialnya, beliau turut mendakwa bahawa tindakannya telah mendapat kebenaran daripada jururawat yang bertugas.

Bagi menyokong kenyataan, Raghad turut memuatnaik sekeping nota yang ditulis jururawat yang bertugas di Unit Rawatan Rapi hospital terbabit.

Untuk makluman, Abdul Taib (87) telah menamatkan perkhidmatan 10 tahunnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Isnin lalu.

Kini, kedudukannya telah diambil alihnya oleh anak didiknya, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang disahkan pada 26 Januari lepas.

Sebelum ini, Abdul Taib telah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet negeri dan Persekutuan sejak 1963. Beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.

BACA: Polis Sarawak Sahkan Terima Laporan Tun Taib Dibawa Keluar Hospital

Sumber: Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma