Siakap Keli
Jamalludin Zakaria meninggal dunia
Kredit X/ GEMPAK 360

Pelakon Alih Suara BM Watak Squidward, Son Goku & Banyak Lagi Meninggal Dunia

Pelakon Alih Suara BM Watak Squidward, Son Goku & Banyak Lagi Meninggal Dunia

Pelakon alih suara legenda tanah air, Jamalludin Zakaria yang terkenal menerusi watak Son Goku dan Squidward Tentacles dilapor meninggal dunia.

Allahyarham yang berusia 63 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Ahad lepas.

Pemergian Allahyarham telah dikongsikan oleh pengguna di laman X yang dikenali sebagai GEMPAK 360.

“Perginya pelakon alih suara legenda, Jamalludin Zakaria. Antara watak terkenal beliau ialah Son Goku, Squidward, Jiraiya, CatDog & banyak lagi. Takziah buat keluarga Allahyarham,” tulis perkongsian tersebut.

Selain watak-watak di atas, banyak lagi animasi, anime dan siri tv yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu menggunakan suara emas Allahyarham.

Antaranya watak pengetua dalam anime Sin Chan, Mu La Flaga dalam Gundam Seed, siri-siri seperti ultraman, Masked Rider dan Power Rangers.

Pemergian Allahyarham cukup dirasai buat peminat siri kartun mahupun anime yang menggunakan suara beliau.

Menjengah ke ruangan komen dalam beberapa hantaran di Facebook, ramai yang mengakui masih teringat dengan lantunan suara Allahyarham menerusi watak-watak yang diminati mereka suatu ketika dahulu.

Malah, ada juga peminat yang berkesempatan melakukan kompilasi watak-watak yang pernah menggunakan suara Allahyarham.

Kompilasi dalam bentuk video tersebut kemudian turut dimuat naik ke Facebook.

Sumber: X/ GEMPAK 360, Facebook

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka