Polis Tahan Warga Bangladesh Pandu Lawan Arus
Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas didapati memandu kereta secara lawan arus di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata kira-kira 2.30 petang semalam, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah mengesan rakaman video tular berdurasi 50 saat berhubung kejadian tersebut di Facebook.
“Video memaparkan sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih dipandu secara melawan arus atau songsang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
“Suspek berusia 43 tahun ditahan pada jam 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi dan dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik pada Sabtu.
Hussin berkata selepas melakukan saringan awal ujian air kencing, ia mendapati suspek adalah negatif dadah dan tiada rekod jenayah dilaporkan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Jelasnya, sabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM15,000.
“Orang ramai diminta sentiasa peka dan patuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya,” ujarnya.
https://www.facebook.com/polisdaerahkotatinggi/posts/pfbid02Z7SkeWcrYJxqDaUSDyowdpuLp9PfbU7WDh4Lb2XrXDiUjXy52fyRnYpFhnGcGcKXl?locale=ms_MY
Sumber: Polis Daerah Kota Tinggi/Facebook
BACA: Polis Tahan Dua Pengasuh Disyaki Dera, Abai Kanak-Kanak Di Taska