Dari Hobi Jadi Rezeki, Kad “Custom” Hot Wheels Abang Ni Dapat Permintaan Tinggi
Hobi mengumpul permainan kereta Hot Wheels sememangnya sudah lama wujud, malah masih kekal relevan di Malaysia terutamanya bagi kaum lelaki.
Bagi sesetengah orang, membeli permainan kereta Hot Wheels ibarat membeli memori zaman kanak-kanak yang lalu.
Biasanya, kita hanya melihat bagaimana kereta Hot Wheels yang dibuat khas tetapi pernah tak anda melihat kad Hot Wheels yang dibuat khas?
Siapa sangka dari hanya sekadar hobi, perniagaan Pemilik Custom Hot Wheels Malaya mendapat sambutan yang tinggi di laman sosial TikTok.
Dalam segmen ‘Ini Kisah Aku’ kali ini, Siakap Keli telah menemubual anak kelahiran Johor Bahru yang sedang giat dalam perniagaan ini.
Andreputra Bin Bambang atau lebih mesra disapa Putra, 33 tahun, bekerja sebagai ejen insurans takaful sepenuh masa sejak 2020. Selain itu, dia merupakan lepasan Universiti Malaysia Terengganu bagi jurusan Sarjana Muda Kaunseling.
Menurut Putra, sebelum menjadi ejen insurans takaful, dia pernah bekerja sebagai penyelia perincian kereta selama 2 tahun.
Berniaga secara ‘suka-suka’, kini menjadi permintaan orang ramai
Pada mulanya, dia hanya mengumpul permainan kereta Hot Wheels original sebagai hobi dan telah menjadikan sebagai perniagaan pada hujung bulan 11 tahun lepas.

Idea tercetus apabila melihat individu membuat kad Hot Wheels yang dibuat khas. Berbeza dengan idea individu tersebut, Putra menjual sekali koleksi kereta yang dikumpul dalam perniagaannya.
“Awalnya, kad Hot Wheels dibuat khas dilakukan sebagai hobi. Bagi pandangan saya, jika kita membuat kerja sambilan ianya lebih mudah bermula dari hobi.
“Tambahan pula, kita akan lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu dan sebab itu saya masih sambung melakukan perniagaan ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Putra hanya menjual kepada orang sekeliling, keluarga dan kawan-kawan.

Di samping itu, dia tidak pernah terfikir untuk menceburi perniagaan online tetapi apabila melihat orang lain meniaga di TikTok, dia menjadi seronok untuk mencuba walaupun terpaksa belajar sendiri.
“Mujur kawan saya yang merupakan seller dalam Tiktok, dia mengajar sedikit tentang permulaan berniaga dalam aplikasi tersebut. Selebihnya saya belajar sendiri,” katanya.
Dalam masa yang terdekat, Putra menerima banyak tempahan sekaligus ia menambahkan pendapatannya. Tambahan pula, harga kad Hot Wheels dibuat khas dijual pada harga RM29.90 sehingga RM59.90 bergantung jenis model kereta.
Sementara itu, pelanggan yang memesan kad kad Hot Wheels yang dibuat khas bukan sahaja dari Malaysia, malah dari negara Singapura serta Brunei.
Selain menggunakan gambar pelanggan, terdapat satu reka bentuk yang laris dijual baru-baru ini.
Menumpang tuah si anak, kad reka bentuk filem Madu Tiga mendapat sambutan paling tinggi
Putra yang juga bapa kepada tiga orang anak berkata, proses untuk membuat ubah suai kad itu tidak melebihi 15 minit untuk satu kad.
Kad reka bentuk filem P Ramlee, Madu Tiga yang dijual pada harga RM 54.90 menjadi idaman setiap orang, malah setiap kali dijual mesti laris.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk membuat reka bentuk filem Madu Tiga kerana saya bermula dengan gambar dibuat khas saja.
“Idea ini berasal daripada pelanggan saya di Johor Bahru. Dia memesan satu kad gambarnya dan satu kad reka bentuk filem itu.
“Mulanya, saya agak berat untuk melakukannya kerana saya fokus pada gambar tetapi saya buat juga,” jelas Putra dalam temubual.
Selepas selesai membuat pesanan pelanggan, dia memuat naik gambar di laman sosial TikTok miliknya, malah tidak menyangka menerima 1.6 juta tontonan.
Katanya lagi, kad reka bentuk Madu Tiga merupakan edisi terhad yang dijual sebanyak 50 keping.
Setiap perniagaan mesti akan ada cabaran
Bagi Putra, cabaran terbesar baginya yang baru memulakan perniagaan ialah pencetakan kerana awalnya dia tiada mesin pencetakan dan perlu ke kedai pencetakan berdekatan tempat kerja.
Tetapi apabila luar daripada waktu bekerja, dia perlu ke sana kerana kawasan perumahannya tiada kedai pencetakan.
Memandangkan kedai pencetakan jauh dari rumah, Putra banyak menghabiskan masa menunggu di kedai itu.

Cabaran seterusnya pula timbul apabila produk yang dibungkus dengan baik dan dihantar melalui kurier diterima oleh pelanggan dalam keadaan rosak.
“Namun begitu, perkara tersebut tak dapat dielakkan walaupun saya sudah menambah baik bungkusan dan sebagainya.
“Tetapi masih ada segelintir pelanggan mendapat barang yang sedikit rosak. Itu merupakan cabaran terbesar bagi saya,” katanya.
Aduan mengenai kerosakan paling banyak diterima semasa dia mula-mula menceburi perniagaan tersebut.
Namun, seiring berjalannya waktu dan bertambahnya pengalaman, aduan-aduan yang diterima semakin berkurangan.
“Sememangnya saya memang tiada ilmu dalam membuat perniagaan online begini, jadi saya cuba perbaiki segala kekurangan.
“Bila mendapat maklum balas daripada pelanggan, mereka memberi idea untuk perbaiki bungkusan.
BACA: Ayah Sarung Maskot, Jadi Penghibur Jalanan Cari Duit “Extra” Sara Keluarga
“Walaupun barang yang diterima oleh pelanggan mengalami kerosakan sedikit tetapi mereka tidak memberi maklum balas negatif kepada saya.
“Disebabkan kerosakan yang diterima tidak terlalu teruk, maka tiada pelanggan yang mahu bayaran balik,” ujar Putra.
Mendapat sokongan berterusan dari orang sekeliling
Dalam pada itu, Putra mendapat sokongan yang menggalakkan dari ahli keluarga dan kawan-kawan. Apabila dia memulakan perniagaan ini, abang iparnya menjadi pelanggan yang pertama.

Dalam masa yang sama, kawan-kawan pejabat turut memesan kad Hot Wheels yang dibuat khas daripadanya.
Sekiranya anda ingin membuat tempahan, boleh hubungi Encik Andreputra di talian 011-2303 2702 atau di platform TikTok @customhotwheelsmalaya. Anda juga boleh memasuki live di TikTok @customhotwheelsmalaya pada hari Khamis dan Jumaat.
Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai perniagaan Encik Andreputra, boleh tonton video di bawah.