Turus Laut Kepala Ular Di Taman Negara Bako, Sarawak Dilapor Runtuh
Formasi batu ikonik dan terkenal di Taman Negara Bako yang dikenali sebagai Turus Laut Kepala Ular dilapor telah runtuh.
Kejadian itu dikongsikan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi muat naik di Facebook mereka pada pagi tadi.
Difahamkan, kejadian itu disedari oleh seorang pemandu taman yang dikenali sebagai Paul pada jam 4.00 petang semalam.
Formasi batu unik, turus laut kepala ular runtuh
Menurut SFC, formasi batu berkenaan berkemungkinan runtuh dipercayai disebabkan oleh fenomena ombak besar yang berlaku di perairan Bako sejak beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Tuan Abang Arabi bin Abg Aimran dilapor turut terkejut dengan kejadian tersebut.
Menurut Abang Arabi, turus laut itu bukan sahaja menarik dari aspek semula jadinya, malah banyak menyumbang kepada industri pelancongan Sarawak.
Lebih-lebih lagi kepada pengusaha-pengusaha bot di Taman Negara Bako.
Memberi pengalaman menarik kepada pengunjung yang melihat formasi unik itu
Beliau juga menjelaskan bahawa keunikan batu turus itu telah memberikan pengalaman yang menarik kepada pengunjung untuk mengagumi kurniaan semula jadi tersebut.
Katanya lagi, ada anugerah alam ini dapat dipulihkan dan ada yang tidak dapat digantikan lagi.
Turus laut merupakan salah satu khazanah geologi negara yang terbentuk hasil dari kesan hakisan batuan pasir selama jutaan tahun.
Struktur tersebut memiliki formasi yang unik dan indah serta telah memukau para pengunjung yang datang untuk menikmati pemandangan tersebut.
Sementara itu, SFC turut memberitahu bahawa satu set lengkungan laut dan terus laut ikonik yang serupa turut boleh ditemui di Victoria, Australia.
Bagaimanapun, turus itu turut mengalami proses runtuhan yang sama seperti di Taman Negara Bako.
Sehingga kini, hanya tinggal lapan tiang yang wujud daripada jumlah keseluruhan sebanyak 12 tiang lengkungan.
https://www.facebook.com/sfcsarawak/posts/pfbid02K21U6UzB3yWsZrC8Cp2ziHD4zRTtM2PtPemfpS5eycYX5sf2eCUdctzzNcGrQS3ql
Perkongsian yang dibuat SFC pantas mencuri tumpuan warga maya, khususnya mereka yang tinggal di Sarawak. Rata-rata meluahkan rasa sedih dengan kejadian tersebut.
Dalam pada itu, ada juga warga maya yang mencadangkan sebuah formasi tiruan dibina sebagai ganti kepada formasi semula jadi yang asal.
BACA: Kembali Melonjak, Nilai 1 Bitcoin Dilapor Cecah Lebih RM239,000
Sumber: Facebook/Sarawak Forestry Corporation