Siakap Keli
keputusan rasmi pemilu
Kredit: CNN Indonesia

Perlu Lalui Banyak Proses, Bila Keputusan Rasmi Pemilu Akan Diumumkan?

Perlu Lalui Banyak Proses, Bila Keputusan Rasmi Pemilu Akan Diumumkan?

Pengiraan undi bagi Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2024 telah dimulakan pada Rabu, 14 Februari 2024 pada pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan.

Hal ini bermakna, proses pengumpulan undi dan penghitungan undi berlangsung pada hari yang sama. Sungguhpun kedua-dua proses berlangsung pada masa yang sama, ini tidak bermakna bahawa tempoh penghitungan undi sewaktu Pemilu akan berakhir sama seperti tarikh tamat mengundi.

Sesi pengiraan undi Pemilu di Indonesia telah dilakukan oleh Ketua Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara (KPPS) dan dihadiri oleh saksi atau Pengawas Tempat Pemungutan Suara (TPS).

Untuk pengetahuan, sebanyak 823, 220 tempat mengundi telah dibuka bagi Pemilu tahun ini.

Berapa lama tempoh pengiraan undi bagi Pemilu 2024?

Secara lazimnya, tempoh pengiraan undi Pemilu biasanya berlangsung dalam lingkungan dua hari, lapor CNN Indonesia.

Merujuk Komisi Pemilihan Umum (KPU), pengumpulan dan pengiraan undi telah dijadualkan berlangsung pada 14 Februari sehingga 15 Februari 2024.

“Waktu pengiraan undi di TPS dimulakan selepas kesemua kertas undi selesai dikumpul, dan berakhir pada hari yang sama dengan hari pembuangan undi,” kata KPU.

BACA: Pemilihan Serentak, Ini Beza Lima Kertas Undi Pemilu 2024

Sungguhpun begitu, KPU turut memberikan tambahan satu hari dengan mempertimbangkan jumlah kertas undi yang terlalu banyak di sesuatu kawasan.

“Dalam kes pengiraan undi yang masih belum selesai pada waktu sebagaimana dimaksudkan pada ayat (1), sesi pengiraan undi dapat dilanjutkan dalam tempoh paling lama iaitu 12 jam tanpa henti sejak berakhirnya hari pembuangan undi,” jelasnya lagi.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sesi pengiraan undi akan dipimpin oleh KPPS dan dihadiri beberapa saksi atau Pengawas TPS.

Sungguhpun sesi pengiraan undi lebih awal, pihak berkuasa akan mengira undi mengikut jenis kertas undi dari peringkat teratas sehingga terbawah.

Hal ini telah termaktub dalam Perkara 52 dalam undang-undang pilihan raya umum yang turut dikenali sebagai Pemilu.

Undang-undang tersebut menjelaskan bahawa pengiraan undi perlu dilakukan mengikut urutan yang ditetapkan. Pihak KPPS akan mula mengira kertas undi untuk Pemilu Presiden (Pilpres) iaitu kertas undi yang menunjukkan calon presiden serta timbalannya.

Selepas selesai, barulah pihak berkenaan akan memulakan pengiraan undi bagi Pemilu Calon Legislatif (Pileg). Pengiraan undi bermula dengan kerusi Dewan Perwakilan rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD), Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi dan berakhir dengan DPRD bagi peringkat Kabupaten atau Kota.

Keputusan pilihan raya indonesia pemilu
Kredit: Antara

Bila keputusan pilihan raya umum (Pemilu) Indonesia akan diumumkan?

Sungguhpun sesi pengiraan mengambil masa kira-kira dua hari, keputusan rasmi masih tidak diumumkan sebaik sahaja sesi penghitungan tamat.

Selepas sesi pengiraan undi tamat, pihak berkuasa akan melaksanakan proses pengiraan semula jumlah undi.

Pengiraan semula keputusan jumlah undi tersebut dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Daerah (PPK) bermula dari kawasan kampung/mukim, seterusnya mukim ke daerah/bandar dengan bantuan Jawatankuasa Pengundian (PPS).

Menurut Detik.com, proses itu dijalankan secara terbuka, selepas PPK menerima peti undi bermeterai daripada PPS.

Susulan itu, keputusan Pemilu 2024 rasmi akan diumumkan mengikut aturan yang ditetapkan dalam Perkara 413 Undang-undang Nombor 7, Tahun 2017.

Berdasarkan undang-undang tersebut, berikut merupakan aturan bagi setiap kerusi yang dipertandingkan di Pemilu 2024:

1. KPU telah menetapkan keputusan Pemilu pada peringkat kebangsaan akan diumumkan paling lewat selama tempoh 35 hari selepas tarikh pengundian. Antara keputusan yang diumumkan adalah pemenang kerusi bagi calon Presiden dan Timbalannya, ahli DPR dan DPD.

2. KPU Provinsi pula mengumumkan hasil keputusan undi parti politik bagi ahli DPRD Provinsi paling lewat 25 hari daripada hari pengundian.

3. KPU Kabupaten atau Kota mengumumkan keputusan parti politik bagi kerusi DPRD pada peringkat kabupaten atau kota selewat-lewatnya 20 hari daripada hari pengundian, setelah hari pemungutan suara.

Berdasarkan urutan tersebut, maka keputusan rasmi bagi Pemilu 2024 secara keseluruhan akan diumumkan paling lewat pada 20 Mac 2024.

Sungguhpun begitu, keputusan pagi Pilpres tidak dapat diumumkan jika terdapat sesi pengundian buat kali kedua. Jika terdapat sesi pengundian buat kali kedua, maka rakyat Indonesia sekali lagi akan menjalani proses pengundian yang sama, hanya untuk memilih calon Presiden dan timbalannya sahaja.

Istiadat angkat sumpah bagi Presiden dan Timbalannya dijangka bakal dijalankan pada 20 Oktober 2024. Sementara isitiadat angkat sumpah bagi ahli DPR, DPD pula dilakukan pada Selasa, 1 Oktober 2024.

BACA: Unik, Rakyat Indonesia Mengundi Pakai Paku & Bukannya Pen

Sumber: CNN Indonesia, Detik (1), (2)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.