Terlantar Sebelum Sempat Ke UK, PETRONAS Tetap ‘Taja’ Pelajar Cemerlang
Baru-baru ini, tular kisah seorang pelajar cemerlang yang terlantar sebelum sempat terbang ke luar negara.
Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, sepatutnya menghabiskan pengajian di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada bulan depan sebelum melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.
Pelajar dibawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), bagaimanapun terpaksa menunda sementara pengajian selepas pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember lalu, menyebabkan dia mengalami lumpuh sebelah kanan badan.
PETRONAS terus beri sokongan, utamakan pemulihan
Menurut PETRONAS dalam satu kenyataan, sokongan diberikan kepada Amirul dan keluarganya sejak dia dimasukkan ke hospital lagi.
“Kami akan terus memantau keadaan beliau dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan beliau,” kata kenyataan berkenaan.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam menyokong pelajar tajaannya, bukan sahaja dalam bidang akademik malah ketika mereka berdepan masalah kesihatan.
“Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan pelajar tajaan kami, dan kami bersedia memberikan bantuan sewajarnya dalam keadaan sukar ini.”
Pengsan di rumah sewa, ditemui tukang cuci
Dalam kejadian pada Disember lalu, Amirul ditemui pengsan di kediaman sewaan PETRONAS oleh seorang tukang cuci.
Amirul sepatutnya pulang ke kampung di Terengganu bagi menghabiskan cuti semester, namun terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas dirujuk ke Hospital Cyberjaya, Amirul terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut selama 12 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama empat hari.
Pelajar itu seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima rawatan disana selama 7 hari.
Kini, Amirul terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu dan perlu menggunakan lampin pakai buang. Kos rawatan dan penjagaan yang lain juga perlu ditanggung oleh keluarganya dengan bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sekiranya anda ingin menyampaikan sumbangan buat keluarga ini, anda boleh hubungi Puan Wan Murni Wan Ngah di talian 0107805482.