Siakap Keli
wanita saman kekasihnya
Kredit Baidu

Kantoi Rupanya Sudah Beristeri, Wanita Saman Suami RM133 Juta

Kantoi Rupanya Sudah Beristeri, Wanita Saman Suami RM133 Juta

Seorang wanita di China dilapor menyaman suaminya $28 juta (RM133 juta) selepas mendapat tahu lelaki tersebut ada isteri lain.

Memetik SCMP, pasangan itu menjalin hubungan sejak 10 tahun lepas dan memiliki lapan cahaya mata iaitu lima anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Wanita berusia 33 tahun itu yang berasal dari sebuah keluarga kaya berkenalan dengan lelaki berkenaan, yang kini berusia 61 tahun ketika dia berumur 23 tahun.

Mereka difahamkan berkenalan secara atas talian sebelum memutuskan untuk memulakan hubungan intim bersama.

Menurut wanita itu, lelaki berkenaan memaklumkan dia merupakan seorang lelaki bujang, menjadikan perkahwinan mereka adalah sah.

Wanita nekad saman suami sendiri, kecewa dapat tahu rupanya ada isteri lain

Dalam sebuah video yang menjadi tular, wanita itu turut mendedahkan dokumen perkahwinan mereka. Bagaimanapun, kesahihan dokumen berkenaan tidak dapat dipastikan.

Wanita itu berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2015 dan memutuskan untuk memiliki 10 orang anak.

“Dia memberitahu saya bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada anak kami akan berjaya,” kata wanita itu lagi.

Menerusi video itu lagi, wanita tersebut turut mendedahkan sijil kelahiran kelapan-lapan anak mereka.

Namun, dokumen itu menunjukkan anak-anaknya dilahirkan menerusi ibu tumpang di Amerika Syarikat.

Kata wanita itu, mereka membelanjakan lebih $1.4 juta (RM6.6 juta) untuk memiliki lapan cahaya mata itu.

Segalanya terbongkar pada tahun lalu

Bagaimanapun, impian untuk membina keluarga bahagia musnah selepas suaminya berpindah ke luar negara.

Lelaki itu bertindak menghantar surat saman dan menuntut semula harta yang didakwa diberikan kepada wanita tersebut sejak 10 tahun lepas.

Menurut SCMP, keadaan menjadi semakin buruk selepas wanita itu mendapat tahu bahawa lelaki yang dianggap sebagai suami yang sah itu rupanya mempunyai isteri lain.

Selepas apa yang berlaku, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dan menjaga sendiri anak-anaknya.

Dalam pada itu, wanita tersebut turut bertindak menyaman keluarga suaminya itu dan menuntut nafkah sebanyak $28,000 sebulan.

Tuntutan itu dibuat kerana wanita tersebut mendakwa dia tidak mampu untuk menjaga semua anak-anaknya sendirian.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan membalas mereka bersedia membesarkan anak-anak tersebut jika diserahkan kepada mereka.

Namun, permintaan itu ditolak wanita tersebut.

Dia juga menyaman suaminya sebanyak RM133 juta selepas mendakwa lelaki itu mengamalkan bigami atau berkahwin dua.

Kes itu telah dibicarakan pada Oktober tahun lalu dan keputusan perbicaraan kes tersebut sehingga kini masih tergantung.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: SCMP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka