Cedera Parah Di Kepala, Wanita Maut Digilis Kereta
BALING — Seorang wanita dilaporkan maut apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum terjatuh dan digilis sebuah lagi kenderaan di Simpang Tiga Kuala Pegang pada pagi ini, lapor Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 39 tahun yang menunggang motosikal Honda Vario 150 itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Beliau berkata mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam kejadian 7.27 pagi itu, mangsa sedang menghala ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Baling Kedah dari arah rumahnya di Carok Garok.
Sementara itu, dua buah kenderaan yang terlibat dalam perjalanan sedang menghala ke Kuala Ketil dari arah Baling bagi pulang ke rumah.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa berada di laluan kiri jalan telah mengubah ke laluan kanan jalan secara tiba-tiba telah menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal mangsa.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terjatuh di laluan bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kereta Produa Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kepala mangsa mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” maklumnya sewaktu dihubungi oleh Astro Awani.
BACA: Kereta Selalu Lekat Dalam ‘Traffic Jam’ Perlu Kerap Tukar Minyak Enjin? Ini Penjelasan Pakar
Mayat wanita itu bagaimanapun telah dibawa ke Hospital Kulim bagi proses bedah siasat.
Kata Shamsudin lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pada Januari lalu, seorang wanita turut dilaporkan meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan mengakibatkannya terjatuh sebelum digilis sebuah lori treler, lapor Sinar Harian.
Kejadian berlaku di Jalan Sungai Seluang berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang sekitar jam 8.13 pagi Selasa.
Akbat kejadian, cebisan badan mangsa yang berumur lingkungan 20-an berselerakan di tempat kejadian.
Sumber: Astro Awani