KUALA LUMPUR 23 FEBRUARI 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 bermula pada 21 Februari sehingga 4 Mac 2024 (13 hari) dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Penganjuran HKK 2024 turut dimeriahkan dengan Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2024 di pusat beli-belah terpilih di Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak bermula 23 Februari sehingga 21 April 2024 (59 hari).
HKK diadakan bertujuan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara. HKK 2024 merupakan penganjuran kali ke-21 dengan melibatkan penyertaan seramai 640 orang usahawan kraf daripada bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf.
Berkonsepkan ‘Kraf Identiti Malaysia’, HKK 2024 memaparkan elemen keunikan dan keaslian produk kraf Malaysia yang baharu menerusi reka bentuk produk daripada elemen kebudayaan masyarakat tempatan.
Antara produk kraf yang terlibat terdiri daripada alatan dan kelengkapan rumah, hadiah dan cenderamata serta fesyen dan aksesori.
Aktiviti HKK 2024
HKK tahun ini mengetengahkan Jualan Kraf, Pameran (Tokoh Kraf Negara 2024, Standard Kraftangan Malaysia, Kraf Komuniti Ku (KKK), Pavilion Institut Kraf Negara (IKN), Produk Kraf Baharu, Adiguru Kraf dan MYCRAFTSHOPPE), Demonstrasi Pembuatan Kraf (Anyaman dan Ukiran Seni Bina), Demonstrasi Seni Kraf Jurusan IKN, Padanan Perniagaan, Seminar Kraf, Interaktif Kraf dan Lawatan Berpandu Berkumpulan.
Kelainan HKK 2024 pada kali ini menampilkan Demonstrasi Kraf Antarabangsa dengan mengadakan aktiviti demonstrasi bersama juru demo antarabangsa dari empat buah negara iaitu Republik Rakyat China (Anyaman Buluh, Seramik dan Jewellery), Uzbekistan (Cooper Tooling dan Seni Hiasan Seramik), India (Sulaman Zari/ Zardosi) dan Thailand (Thai Silk).
Aktiviti ini dapat memberi perkongsian pengetahuan kepada masyarakat dan mengukuhkan hubungan di peringkat global melalui seni budaya serta kreativiti kraf luar negara.
Turut diadakan Aktiviti Galakan Pengunjung iaitu Persembahan Kesenian, Jom HOHO ke HKK 2024, Pertandingan Video Tiktok HKK2024 dan Poster AI (Artificial Intelligence) HKK 2024.
Orang ramai boleh menggunakan kemudahan awam untuk mengunjungi HKK 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dengan menaiki MRT ke Stesen MRT Conlay dan kawasan parking juga disediakan di Lot 310 sebelah Hospital Prince Court, Badan Warisan Malaysia dan Hotel Royale Chulan.