Perkhidmatan Penghantaran Guna Dron Di Malaysia Bakal Jadi Kenyataan?
JOHOR BAHRU — Syarikat Teknologi Dron Malaysia, Aerodyne Group dan DroneDash Technologies (Singapura) bakal mewujudkan sistem perkhidmatan penghantaran dron rentas sempadan pertama di dunia, lapor The Business Times.
Ia selepas kedua-dua syarikat itu telah menandatangi perjanjian pada 21 Februari lalu (Rabu).
Difahamkan, penghantaran komersial berskala kecil itu melibatkan antara Singapura dan Malaysia (Johor Bahru dan Iskandar).
Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif DroneDash, Paul Yam dalam satu kenyataan berkata, usaha berkenaan masih di peringkat awal dan syarikat tersebut dalam proses mendapatkan kelulusan kawal selia di negara masing-masing.
Pihaknya bagaimanapun menyasarkan percubaan sulung perkhidmatan pada suku ketiga 2024.
Lebih Cepat, Mesra Gas Rumah Hijau
Menurut DroneDash, kaedah penghantaran ini adalah empat kali ganda lebih pantas berbanding penghantaran di darat atau laut yang sedia ada.
Ia juga dapat mengurangkan kadar karbon dioksida sehingga 92 peratus.

“Pelbagai dron akan digunakan yang membolehkan membawa sehingga 30 kilogram kargo, jadi perkhidmatan ini akan tertumpu kepada penghantaran yang lebih kecil dengan nilai lebih tinggi seperti barangan elektronik, bekalan perubatan dan makanan mudah rosak.
“Teknologi itu akan berlepas dan mendarat di pelabuhan bagi pemeriksaan oleh pihak kastam.
“Saya berhasrat untuk menjadikan perkhidmatan ini sebagai autonomi dan seseorang hanya akan mengawal teknologi itu apabila ia dalam keadaan kecemasan,” katanya.
BACA: Santai Temu Bual Dalam Bahasa Melayu, Dua Warga Jepun “Pikat” Hati Warga Maya
Menurutnya, syarikat itu kini masih dalam fasa perbincangan berhubung penyertaan dalam percubaan bagi perkhidmatan berkenaan.
Walaupun tempoh sebenar percubaan itu masih belum diputuskan, Paul menganggarkan bahawa ia akan berlangsung sekurang-kurangnya setahun atau lebih sebelum perkhidmatan itu semakin berkembang pesat termasuk di pelbagai lokasi di Malaysia.
“Kamu akan mulakan dengan menggunakan dron yang lebih kecil dan secara beransur-ansur.
“Apabila mendapat maklum balas positif, kami akan beralih kepada dron yang lebih besar yang boleh terbang jauh dan membawa lebih banyak kargo,” kata Paul lagi.
Pada November 2023 lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura mula bekerjasama dengan rakan serantaunya dalam rangka kerja peraturan dan piawaian keselamatan.
Ia adalah untuk mengawal selia operasi teksi udara dan dron, dengan tujuan untuk menerbitkan satu set bahan rujukan kawal selia menjelang 2025.
Sumber: The Business Times