Siakap Keli

Kenali Ubi-Ubi ‘Empuk’ Liverpool Yang Tewaskan Skuad ‘Mahal’ Chelsea

Kenali Ubi-Ubi ‘Empuk’ Liverpool Yang Tewaskan Skuad ‘Mahal’ Chelsea

Awal pagi semalam Liverpool melakar satu lagi sejarah apabila menjuarai Piala EFL buat kali kesepuluh. Liverpool menang dengan Chelsea selepas gol tunggal Virgil Van Dijk memastikan piala pertama The Reds musim ini.

90 minit tidak cukup untuk menentukan siapa layak menjulang piala yang sudah berusia 64 tahun ini. Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dan hanya pada minit ke-118 hasil hantaran Kostas Tsimikas berjaya ditanduk masuk pertahanan dari Belanda itu.

Rasanya ramai dah tahu macam mana sengitnya perlawanan itu. Namun, ada satu sisi menarik yang SK nak cerita adalah keberanian atau keterpaksaan Jurgen Klopp menurunkan pemain-pemain akademi yang rata-rata berusia 18 hingga 20 tahun untuk perlawanan sebesar ini.

Liverpool dihimpit masalah kecederaan dan kecergasan pemain. Dalam senarai setakat ini, hampir separuh dari skuad utama termasuk Mo.Salah, Szoboszlai, Nunez, Jones, Thiago, Jota dan terbaru Gravenberch terpaksa menjadi penonton di tepi padang sahaja.

Klopp Tak Menyesal?

Dengan keputusan awal pagi tadi, jelas Klopp pengurus yang paling gembira apabila pasukan separuh masak ini mampu menewaskan pasukan bernilai kira-kira 1 billion pound.

Menyesal? Sudah pasti tidak, walaupun mungkin pada awalnya Klopp tiada pilihan yang banyak, namun, pilihan yang terhad ini akhirnya membuahkan hasil dan membawa The Reds ke mercu kejayaan.

Ubi-Ubi Muda Liverpool

Tahukan anda, hampir separuh daripada pemain Liverpool semalam dibarisi pemain muda dan kesemuanya produk dari akademi Liverpool. Jom SK bawa anda kenali semua pemain muda Liverpool yang membarisi skuad awal pagi tadi walaupun ada yang tak diturunkan.

Conor Bradley

Bradley pemain berusia 20 tahun  yang berasal dari Castlederg, Northern Ireland. Nama beliau musim ini makin mencanak naik sejak Trent dan Robertson mengalami kecederaan. Namun, beliau sudah membuat penampilan pertama bersama skuad senior sejak 2021 lagi.

Beliau memulakan karier remaja bersama akademi Liverpool pada tahun 2019. Selepas setahun, Bradley ditawarkan kontark profesional selama 3 tahun.

Setakat ini beliau sudah membuat 4 penampilan bersama Liverpool dan menjaringkan 1 gol.

Bobby Clark

Berasal dari Epsom, England. Clark yang berusia 19 tahun berhijrah dari akademi Newcastle ke akademi Liverpool sejak 2021.

Beliau kemudian ditawarkan kontrak profesional selama 5 tahun yang datang bersama jaminan dari Jurgen Klopp beliau akan berada dalam perancangan skuad utama Liverpool.

Tahun 2022, Clark membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian ketika Liverpool tewaskan Bournemouth 9-0 di Anfield. Clark telah membuat 5 penampilan bersama Liverpool setakat ini.

Jayden Danns

Pemain berambut afro jayden Danns berasal dari Liverpool, England. Beliau berusia 18 tahun dan bermain di posisi penyerang

Danns adalah produk asli dari akademi Liverpool dan telah menyertai akademi itu sejak 2014. Penampilan pertama Danns di Premier League ketika Liverpool tewaskan Luton Town 4-1.

Semalam adalah penampilan kedua Danns sebagai pemain gantian dan masih belum menjaringkan sebarang gol.

James McConnell

Berasal dari Newcastle upon Tyne, England. McConnell memulakan karier akademi beliau bersama Sunderland sebelum menyertai akademi Liverpool sejak 2019.

Penampilan pertama McConnell bersama Liverpool ketika perlawanan menentang Norwich City pada Januari 2024. Beliau membuat satu bantuan gol kepada Curtis Jones dalam perlawanan itu.

McConnell sudah membuat 3 penampilan setakat ini bersama Liverpool dan telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab tersebut.

Jarell Quansah

Muka seakan-akan Van Dijk. Pemain pertahanan tengah berusia 21 tahun ini berasal dari Warrington, England.

Quansah juga adalah produk asli dari akademi Liverpool sejak 2008. Beliau telah menandatangani kontrak profesional sejak 2021.

Penampilan pertama beliau adalah menggantikan Joel Matip ketika menentang Newcastle dalam aksi Premier League.

Lewis Koumas

ubi liverpool tewaskan chelsea

Berusia 18 tahun dan berasal dari Chester, England. Koumas menyertai akademi Liverpool sejak 2016 dari akademi Tranmere Rovers.

Beliau telah dua kali disenaraikan dalam skuad senior Liverpool termasuk aksi awal pagi tadi dan masih belum membuat sebarang penampilan.

Kali pertama ketika Liverpool tewas ke atas Union SG dalam aksi Europa League.

Trey Nyonyi

ubi liverpool tewaskan chelsea

Pemain paling muda dalam skuad semalam ialah Trey Nyonyi. Berusia 16 tahun dan menyertai akademi Liverpool sejak 2023 dari leicester City.

Beliau juga sudah dua kali tersenarai dalam skuad senior termasuk awal pagi tadi tapi masih belum membuat sebarang penampilan.

Kali pertama disenaraikan ketika Liverpool menang 3-0 dengan Brentford dalam aksi Premier League.

Secara tidak langsung, Klopp membuktikan wang ringgit bukanlah segala-galanya untuk membentuk pasukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Pemain yang dibeli dengan harga mahal juga perlu sesuai dengan taktikal dan menyelesaikan masalah pasukan. Bukan menjadi liabiliti kepada pasukan. Pemain dengan harga murah lebih berbaloi jika mereka mampu menjadi aset penting dalam skuad utama.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)