Undian Gol Terbaik Ditutup, Faisal Halim Dapat Undian Tertinggi
Gol Faisal Halim telah mendapat undian tertinggi bagi Gol Terbaik Kejohanan Piala Asia AFC 2023 selepas tarikh undian ditutup pada malam semalam.
Difahamkan, sesi undian bagi Gol Terbaik Kejohanan telah ditutup pada pukul 10.00 malam, 25 Februari 2024.
Pemain posisi penyerang itu telah mencipta sejarah apabila jaringannya dicalonkan sebagai gol terbaik dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Jaringan menarik ini dilakukan ketika perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan pada peringkat Kumpulan E pada 25 Januari lalu.
Ketika itu, pemain yang mesra dipanggil sebagai Mickey telah memberi kejutan dan tamparan hebat terhadap kuasa besar bola sepak di Asia.
Penyerang Selangor ini bertindak licik, memperdayakan pertahanan kental Korea Selatan, Kim Min-jae, sebelum melepaskan sepakan lencong dari sudut sukar ke gawang lawan.
Gol keramat ini telah berjaya mengikat Korea Selatan 1-1 beberapa minit sebelum separuh masa pertama tamat. Kejutan ini menyebabkan Taeguk Warriors tidak ‘senang duduk’.
Untuk makluman, gol Faisal Halim ini merupakan antara lapan gol terbaik yang dicalonkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 21 Februari lalu.
Lapan gol ini dipilih daripada 132 jaringan gol yang terhasil daripada 51 perlawanan sepanjang kejohanan itu berlangsung dari 10 Januari hingga 10 Februari lalu.
Gol Faisal Halim meraih undian majoriti
BACA: Jaringan Faisal Halim Tercalon Bagi Gol Terbaik Piala Asia 2023
Menerusi lapan jaringan yang dicalonkan, gol Faisal telah meraih undian tertinggi, iaitu sebanyak 85 peratus undian ketika undian telah ditutup.
Keputusan ini diikuti dengan jaringan bintang Jordan, Mousa Al Tamari (9 peratus) dan bintang Korea Selatan, Son Heung-min (3 peratus).
Jaringan Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran) pula masing-masing meraih undian sebanyak satu peratus.
Manakala gol Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al Haydous (Qatar) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) tidak meraih sebarang undian.

Menurut Stadium Astro, AFC sebelum ini turut menganggap jaringan Faisal itu sebagai satu keajaiban dalam Piala Asia.
Namun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat AFC mengenai pemenang gol terbaik itu.
BACA: Kenali BYD, Pengeluar EV Yang Semakin Tunjuk Taring
Sumber: AFC, Stadium Astro