BMT 2024: Ini Cara Semak Status Pemberian Bantuan Musim Tengkujuh
Seperti yang diketahui, gol0ngan penoreh dan pekebun kecil merupakan penyumbang kepada sektor pertanian dan ekonomi negara.
Walau bagaimanapun, aktiviti pertanian ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diusahakan lebih-lebih lagi golongan ini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti faktor cuaca yang tidak menentu.
Perkara ini sudah tentunya memberikan impak terhadap hasil pengeluaran sekaligus mengurangkan pendapatan negara dalam sektor pertanian.
Oleh itu, kerajaan mewujudkan satu skim bantuan yang dikenali sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi meringankan beban.
Apa itu BMT?

BMT merujuk kepada Bantuan Musim Tengkujuh. Insentif kerajaan ini diwujudkan bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatannya akibat tidak dapat menoreh ketika musim hujan.
Sebelum ini, BMT 2023 memberikan bayaran sebanyak RM600 kepada golongan pesawah dan pekebun kecil yang memenuhi kriteria kelayakan.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar bantuan berkenaan dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM800 meluluskan peruntukan sebanyak RM256 juta terhadap golongan ini.
Tambahnya kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion.
Permohonan Dan Pengemaskinian BMT 2023
Untuk makluman, tarikh permohonan dan pengemaskinian BMT telah bermula 15 Jun 2023 hingga 15 September 2023.
Permohonan boleh dilakukan di mana-mana pejabat RISDA atau secara atas talian menerusi pautan pekebunkecil.risda.gov.my.

BACA: Lampu Minyak Dah Mula Berkelip, Guna Cara Ni Kira Baki Petrol Dalam Tangki
Syarat Kelayakan
Penerima yang layak menerima bantuan ini adalah pekebun kecil yang memiliki dan mengusahakan lot bertanam getah atau penoreh yang tidak memiliki dan menoreh di lot bertanam getah dengan jumlah keluasan tanah sekitar 2.5 hektar ke bawah.
Berikut syarat-syarat kelayakan bantuan mengikut kategori:
Pekebun Kecil Getah
Pemohon mestilah merupakan warganegara Malaysia dan berdaftar dengan RISDA. Pemohon juga perlu memiliki jumlah keluasan milikan tanah 0.1 hingga 2.5 hektar secara agregat dan tanah tersebut adalah sah.
Walau bagaimanapun, seorang penerima hanya boleh memohon untuk satu lot sahaja (tanpa mengambil kira bilangan ahli kongsi). Bantuan ini hanya layak diterima sekali sahaja oleh pekebun kecil.
Penoreh Getah
Bagi penoreh getah pula, pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia dan berdaftar dengan RISDA. Golongan ini perlu menoreh di lot berkeluasan 0.1 hingga 2.5 hektar dan mendapat pengesahan daripada pemilik tanah atau wakil yang sah.
Pemohon juga perlu mempunyai Kad Permit Autoriti Getah (PAT-G) atau Slip Pengaktifan PAT-G yang masih sah ketika permohonan dibuat.
Walau bagaimanapun, seorang penerima hanya layak untuk satu lot sahaja bagi membolehkan bantuan diterima sekali sahaja.

Dokumen Yang Diperlukan
Berikut adalah dokumen yang diperlukan bagi permohonan BMT 2023/2024;
Pekebun Kebun Yang Bukan Di Bawah Mana-Mana Agensi
Pemohon perlu membawa kad pengenalan berserta salinan selain geran asal tanah termasuk salinan dan salinan buku akaun bank yang aktif.
BACA JUGA: Rebat Bil Elektrik RM40 Sebulan: Ini Cara Semakan
Penoreh (Bukan Pemilik Tanah)
Pemohon perlu membawa enam dokumen seperti kad pengenalan (termasuk salinan), salinan kad pengenalan pemilik tanah, salinan geran tanah yang ditoreh, salinan buku akaun bank yang aktif, surat pengesahan daripada pemilik tanah atau wakil yang sah dan salinan kad PAT-G atau slip pengaktifan PAT-G yang masih sah ketika permohonan dibuat.
Pekebun Kecil Di Bawah Agensi
Pemohon perlu membawa lima dokumen yang terdiri daripada kad pengenalan pemohon (termasuk salinan), geran tanah asal berserta salinan (jika memiliki tanah bergeran atau mempunyai dokumen hakmilik tanah yang sah).
Pemohon juga perlu membawa salinan buku akaun bank yang aktif selain surat pengesahan daripada agensi dan salinan kad PAT-G atau slip pengaktifan PAT-G yang masih sah ketika permohonan dibuat (wajib bagi permohonan di bawah Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) Dan JAKOA sahaja).
Bayaran BMT 2023
Kaedah bayaran menerusi online (EFT), iaitu terus ke akaun penerima dan mula disalurkan pada November dan Disember 2023 serta Januari dan Februari 2024.
Jumlah kadar bantuan yang diberikan adalah RM800 dan akan dikreditkan RM200 secara ansuran pada setiap bulan.
Semakan Pembayaran BMT 2023
Pemohon yang telah membuat permohonan sebelum ini boleh menyemak status pembayaran menerusi portal rasmi Pekebun Kecil RISDA https://bmt.risda.gov.my/bmtsemakanstatus/

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan di portal yang berdaftar dengan LIGS di pautan https://bmt.ligs.gov.my/

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh pergi ke Pejabat RISDA berhampiran atau Bahagian Produktiviti dan Pemasaran
Sumber: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)