Siakap Keli
Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera

NC UA Bentang Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera, Sasar Lahirkan Graduan Kompetitif

Naib-Naib Canselor Universiti Awam (UA) membentangkan Resolusi Pendidikan Tinggi  Bumiputera kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir  pada Isnin.  

Empat tema telah dipersetujui untuk dikemukakan iaitu, akses pendidikan tinggi kaum  Bumiputera; penyediaan bakat mahasiswa Bumiputera semasa di universiti; kebolehpasaran  graduan Bumiputera; dan penubuhan pusat kajian pembangunan Bumiputera. 

Pembentangan resolusi ini melibatkan empat Naib Canselor iaitu dari Universiti Kebangsaan  Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; Universiti Pendidikan  Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Universiti Teknikal Malaysia Melaka  (UTeM), Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof.  Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin. 

Sebelum itu telah diadakan beberapa siri bengkel bagi memperhalusi resolusi yang ingin  disampaikan ini dan diketuai oleh Penasihat Pendidikan Tinggi, KPT, Prof. Tan Sri Dato’ Seri  Dr. Noor Azlan Ghazali.  

Beliau juga akan mewakili kluster pendidikan tinggi bagi membentangkan resolusi pada  Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan berlangsung bermula 29 Februari  2024 sehingga 2 Mac 2024.  

Kerjasama dalam menggariskan tema ini dilihat penting dalam menggerakkan usaha bagi  mengukuhkan tahap kebolehpasaran graduan Bumiputera yang semakin mencabar yang  menuntut beberapa inisiatif dan sokongan.  

Terdapat beberapa usaha yang perlu dilaksanakan, termasuklah biasiswa khas diteruskan  kepada pelajar Bumiputera, kerjasama antara agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan  Kerajaan (GLC), kursus keusahawanan diperluaskan di universiti, serta penawaran biasiswa  kepada pelajar B40 Bumiputera untuk mengikuti latihan industri di syarikat ternama.  

Aspek pemerkasaan graduan Bumiputera juga ditekankan seiring dengan Malaysia MADANI  iaitu membentuk graduan dengan daya cipta tinggi, sahsiah dan integriti, semangat ihsan dan  berupaya memajukan kerjaya sendiri. 

Sesi tersebut turut membincangkan penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera bagi  tujuan membangunkan pangkalan data Bumiputera, menjalankan kajian, mewujudkan  pelantar perbincangan, dan advokasi polisi bagi membangunkan masyarakat Bumiputera.

Pusat ini akan dikelola oleh UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK)  dan UKM melalui Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA). 

Dengan mengintegrasikan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri, pengalaman  pembelajaran melalui program pembangunan kemahiran dan keusahawanan, serta jaringan  profesional, graduan Bumiputera akan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa