Segak Bersongkok & Berpelikat, Sonny Ucap Terima Kasih Pada Rakyat Malaysia
Lagenda ragbi, Sonny Bill Williams mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan hadiah buatnya.
Dalam satu ciapan di laman X (@SonnyBWilliams), beliau menunjukkan himpunan hadiah tersebut yang memenuhi bagasinya.
Menerusi video yang berdurasi seminit 18 saat itu, Sonny sedang memunggah bagasi yang digunakan semasa berada di Malaysia.
Beliau turut meneliti dan membuka beberapa cenderamata yang diberikan kepada dirinya dan ahli keluarganya.
Lebih menarik, Sonny sendiri dilihat selesa mengenakan songkok dan kain pelikat.
“Saya dan isteri serta anak ingin mengucapkan terima kasih atas pemberian cenderamata ini, ikhlas dari lubuk hati kami.
“Jazakumullahu khairan. Semoga Allah membalas budi baik kalian,” katanya.
Penuh keterujaan, beliau memaklumkan bahawa keluarga telah menerima pelbagai jenis hadiah dari rakyat Malaysia.
Antaranya adalah seperti abaya, sejadah, tudung khimar, jersi ragbi dan sebagainya. Beliau turut membacakan beberapa surat dan nota yang ditulis oleh peminatnya di Malaysia.
Dalam pada itu, Sonny turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airlines kerana membantunya membawa pulang hadiah-hadiah dari rakyat Malaysia yang dianggarkan seberat 180 kilogram.
Pada akhir video berkenaan, bekas pemain All Blacks itu menyatakan hasrat untuk mengunjungi negara kita pada satu hari nanti.
“Dari sudut hati yang paling dalam, in sha Allah saya akan berjumpa kalian pada masa yang akan datang,” ujarnya.
Thank you, Malaysia 🤲🏽❤️🇲🇾 pic.twitter.com/X5efAxqbXL
— Sonny Bill Williams (@SonnyBWilliams) February 28, 2024
Sonny luangkan 10 hari yang cukup bermakna di Malaysia
Difahamkan, beliau telah berada di Malaysia bermula pada 16 Februari hingga 26 Februari 2024 bersama keluarganya.
Untuk makluman, Sonny telah hadir ke Malaysia untuk menjadi panel jemputan bagi acara dakwah anjuran Faith Asia pada 17 dan 18 Februari 2024.
Sepanjang di Malaysia, beliau telah melakukan pelbagai perkara antaranya menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negara pada 23 Februari 2024.
Sebelum pulang ke tanah airnya, bintang ragbi itu turut sempat menyertai ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ di Masjid Putra, Putrajaya pada Ahad lepas.
Ketika menghadiri acara tersebut, beliau sempat memberikan ucapan di khalayak 5,000 jemaah dan mengadakan sesi brisk walk bersama-sama.
BACA: Buat Sendiri Kat Rumah, Ini Resipi Donat Gebu Gebas Perlu Dicuba
Sumber: @SonnyBWilliams via X