Siakap Keli

Police Tero FC Lantik Tan Cheng Hoe Sebagai Jurulatih Baharu

Police Tero FC Lantik Tan Cheng Hoe Sebagai Jurulatih Baharu

Kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Thailand, Police Tero FC mengumumkan telah melantik Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu kelab tersebut.

Perkara berkenaan dimaklumkan melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab berkenaan sebentar tadi.

Bersama pengumuman itu, Police Tero FC turut melantik Worrawoot Srimaka sebagai Pengarah Teknikal kelab berkenaan.

Semalam, arena bola sepak tempatan gempar apabila Selangor FC mengesahkan kontrak Tan Cheng Hoe, sebagai jurulatih kelab berkenaan ditamatkan secara persetujuan bersama.

Dalam pengumuman berkenaan, Selangor FC juga mengesahkan penamatan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Gergasi Merah Kuning itu berkata, keputusan itu dibuat selepas Tan Cheng Hoe memberitahu hasratnya untuk meninggalkan kelab itu dan menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih sebuah kelab di Thailand.

Menurut Selangor FC, pihaknya turut menerima bayaran pampasan melibatkan kontrak jurulatih berkenaan.

Bersama Selangor FC, Tan Cheng Hoe berjaya memimpin kelab tersebut untuk muncul naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023.

Pencapaian tersebut menyaksikan Selangor FC berjaya layak secara automatik ke saingan Liga Juara-juara Asia 2 (ACL 2) untuk musim 2024/2025.

Sementara itu, Nidzam Jamil kini dilantik sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan bekas jurulatih yang pernah mengemudi skuad kebangsaan itu.

Pada masa yang sama, pengurusan Selangor FC juga memaklumkan akan menjalankan proses terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu.

BACA: Tan Cheng Hoe Tinggalkan Selangor FC, Berkelana Ke Liga Thailand

Sumber: Police Tero FC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.