Siakap Keli
Gambar: Astro Awani

Peniaga Maut Ketika Berkonvoi

KUANTAN, 1 Mac (Bernama) — Seorang peniaga pasar malam maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di KM166.6 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran ketika berkonvoi untuk menghadiri program RXZ Fighter 2024 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, mangsa, 29, yang beralamat di Kuala Kangsar, Perak meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa bersama 14 lagi penunggang motosikal sedang berkonvoi dari Kuala Kangsar ke Kuantan dengan kedudukan mangsa di belakang sekali.

Menurut Mohamad Zamri, mangsa dipercayai telah hilang kawalan ke atas motosikal jenis Yamaha RXZ yang dipandunya dan terbabas ke sebelah kiri sebelum melanggar besi penghadang jalan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans Hospital Temerloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERNAMA

Athirah

When nothing goes right, go left.