Siakap Keli
Stadium Merdeka
Gambar: Bernama & Arkib Negara

Kenali Ikonik Negara, Stadium Merdeka Yang Bakal Dibuka Semula Pada Tahun Ini

Kenali Ikonik Negara, Stadium Merdeka Yang Bakal Dibuka Semula Pada Tahun Ini

Stadium merupakan salah satu lokasi dimana kebanyakan acara sukan seperti acara balapan dan padang, badminton, hoki dan bola sepak dimainkan, menurut Persekutuan Negara.

Ia menjadi tempat perhimpunan kepada penyokong memberikan semangat kepada pasukan kesayangan mereka.

Walau bagaimanapun, setiap stadium mempunyai sejarah dan kisah tersendiri yang sentiasa diingati sehingga ke hari ini. Salah satunya adalah Stadium Merdeka yang terletak di Kuala Lumpur.

Tahukah anda, stadium ini pernah menjadi saksi kepada detik penuh bersejarah Tanah Melayu.

Sebelum mengimbau kembali mengenai detik-detik stadium ini, mari kita ketahui latar belakang Stadium Merdeka terlebih dahulu.

Stadium Merdeka

Gambar: Perpustakaan Kuala Lumpur

Stadium Merdeka merupakan stadium pertama yang dibina di Malaysia (Tanah Melayu ketika itu) dan terletak di ibu negara, Kuala Lumpur.

Projek pembinaan stadium ini diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya mulai Julai 1956 dan Stadium Merdeka mampu menampung kapasiti penonton sebanyak 22,000 orang termasuk 3,000 orang (berbumbung).

Bagi kawasan berbumbung, ia berkeluasan sepanjang 30 kaki (9 meter) dengan panjang bumbung adalah 60 kaki (18 meter) dan tinggi 40 kaki dari bawah.

BACA: Cara Bawa Kereta Ke Thailand, Dokumen Ketiga Ramai Yang Terlepas Pandang

Sebanyak 14 buah terowong yang terdapat dan merupakan pintu keluar-masuk stadium ini. Selain itu, empat tiang lampu setinggi kira-kira 140 kaki (42 meter) teguh berdiri bagi kegunaan pada waktu malam.

Mengapa stadium ini dianggap istimewa?

Stadium Merdeka
Gambar: Arkib Negara

Sesuai dengan namanya, Stadium Merdeka menjadi mercu tanda kemerdekaan negara kerana di sinilah Perdana Menteri Pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’.

Setiap kali melihat stadium ini, ia menggamit semula nostalgia saat-saat pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Menurut perpustakaan Kuala Lumpur, detik bersejarah ini disaksikan oleh lebih 20,000 rakyat jelata termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara dan anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan.

Bebas daripada penjajah

Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu turut disaksikan oleh wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester yang  menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri.

Penyerahan itu menandakan berakhirnya pemerintahan di bawah naungan British ke atas Tanah Melayu. Watikah tersebut dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman diikuti laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.

Laungan azan juga bergema di stadium sebagai simbolik Islam sebagai agama rasmi negara dan acara berikut menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Bagi menandakan Tanah Melayu sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan.

Stadium Merdeka
Gambar: Bernama

Sehingga kini, Stadium Merdeka masih lagi ditutup sejak 2016 dan ia dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada suku kedua tahun 2024, lapor BERNAMA.

Sumber: Perpustakaan Negara, Perpustakaan Kuala Lumpur, BERNAMA via Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?