Siakap Keli

Tak Semua Ke Henry Gurney, Ada Pesalah Muda Pergi Ke Sekolah Ni, Siap Ada Yang Sambung PhD

Tak Semua Ke Henry Gurney, Ada Pesalah Muda Pergi Ke Sekolah Ni, Siap Ada Yang Sambung PhD

Setiap insan pasti mempunyai kisah hidup yang berbeza. Ada kehidupan yang diuji dengan kesusahan sehingga terkadang ada yang sampai tersilap langkah dalam mengemudi kehidupan mereka semata untuk mengecapi makna ‘kebahagian’.

Bagaimanapun tidak dinafikan, setiap insan berhak untuk berubah. Doa dan taubat mereka untuk kembali semula ke pangkal jalan tiada siapa yang perlu pertikai. Pun begitu, terkadang jalan untuk kembali perlu diharung dan dibayar dengan ‘harga’ yang setimpal.

sekolah dalam penjara
Gambar hiasan. (Kredit: Bernama)

Siapa Banduan Muda

Banduan muda atau kini Prospek Muda adalah gelaran yang diberikan kepada pesalah berumur 18 hingga 21 tahun yang menjalani hukuman penjara di bawah perintah mahkamah selain dari Mahkamah Juvana. Ini kerana kes mereka melibatkan golongan dewasa.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tidak digabungkan prospek muda dan pesalah juvana. Perlu untuk kita fahami pesalah juvana pula adalah mereka yang berumur 14 hingga 18 tahun dan terjebak dengan jenayah yang berada di bawah akta kanak-kanak serta dibicarakan dalam Mahkamah Juvana.

Pun begitu, Jabatan Penjara Malaysia tidak pernah memandang rendah tentang pendidikan formal yang perlu diberikan kepada anak-anak remaja ini. Disebabkan itu juga, Jabatan Penjara Malaysia telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan sekolah dalam penjara untuk prospek muda iaitu Sekolah Integriti.

Kredit: Bernama

sekolah dalam penjara

Silibus Sekolah Integriti

Pada tahun 2019, pernah tular satu gambar yang menunjukkan para pelajar yang dipercayai prospek muda sujud syukur setelah selesai menjawab kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dari situ mungkin ramai yang mempunyai tanggapan bahawa prospek muda itu adalah dari Sekolah Juvana atau Sekolah Henry Gurney. Namun Sekolah Integriti iaitu sekolah dalam penjara juga wajar untuk kita ketengahkan untuk mengetahui bagaimana ia berfungsi membentuk dan mendidik prospek muda sekaligus berkhidmat semula dalam masyarakat apabila dibebaskan.

Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan melawat Sekolah Integriti Puncak Alam.

Untuk makluman, silibus Sekolah Integriti sebenarnya sama seperti Sekolah Henry Gurney yang menitikberatkan dua bentuk latihan iaitu vokasional dan akademik. Kedua-dua bentuk latihan ini selaras mengikut sistem yang ditetapkan KPM.

Kelas-kelas yang ditawarkan pula adalah 3M (membaca, menulis, mengira), Pra SPM untuk pelajar yang kurang menguasai 3M dan SPM. Bagaimanapun, pengkelasan pelajar bukanlah berdasarkan umur tetapi tahap pencapaian akademik mereka.

Calon membuat persediaan ujian lisan di Sekolah Integriti wanita di Kajang.

sekolah dalam penjara

Tambahan lagi, guru-guru yang mengajar di sekolah terbabit juga adalah guru-guru yang dilatih KPM dan sesi pembelajaran pula hanya pada sebelah pagi sahaja bermula seawal 7 pagi.

Bukan itu sahaja, malah banduan muda turut diberi peluang untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Phd. Modul pengajian tinggi ini ditawarkan oleh pihak penjara dengan kerjasama Open Universiti. Walaubagaimanapun, segala yuran pengajian perlu ditanggung oleh pihak keluarga.

Lantaran itu, kesamarataan peluang pendidikan di sebalik tembok ini ternyata membuahkan hasil. Dicatatkan seorang penghuni berjaya memperolehi 9A dalam peperiksaan SPM.

Manakala bagi pengajian tinggi terdapat 25 penghuni yang menyambung pengajian di peringkat Diploma pada tahun 2019, Sarjana Muda pula 9 orang, 4 orang Sarjana dan 2 orang Doktor Falsafah.

Penulis – Siti Fatimah Mohammad Nawawi

Amira

Love yourself.