Siakap Keli
lelaki paru-paru besi meninggal dunia
Gambar: BBC

Lelaki Hidup Dengan Paru-Paru Besi Meninggal Dunia

Lelaki Hidup Dengan Paru-Paru Besi Meninggal Dunia

Seorang pesakit polio yang digelar sebagai ‘lelaki paru-paru besi’ dilapor meninggal dunia pada usia 78 tahun, kata keluarganya menerusi satu kenyataan di laman web mengumpul dana, GoFund Me.

Menurut AFP, Paul Alexander dijangkiti polio pada tahun 1952 ketika dia berusia enam tahun. Penyakit itu menyebabkan mendiang lumpuh dari leher hingga ke bawah dan terpaksa bergantung kepada sistem mekanikal khas untuk bernafas.

“Dengan rasa berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa abang saya telah pun meninggal dunia,” kata adik mendiang, Philip Alexander.

Sebelum ini, dalam satu hantaran di akaun TikTok mendiang beberapa hari sebelum kematiannya, memaklumkan mendiang dikejarkan ke bahagian kecemasan selepas dijangkiti Covid-19.

Menurut AFP lagi, walaupun mendiang terlantar dalam mesin berkenaan, namun mendiang berjaya menamatkan pengajian peringkat tertinggi dan meraih ijazah dalam jurusan undang-undang.

Selepas itu, mendiang sempat berkhidmat sebagai seorang peguam dan pernah menulis buku. Sebagai peguam, mendiang pernah tampil di mahkamah mewakili kliennya dengan menggunakan kerusi roda yang dicipta khas.

Paru-paru besi dicipta pada tahun 1920-an

Paru-paru besi adalah sebuah kebuk tertutup dengan sistem pam. Proses turun naik tekanan udara dalam kebuk itu kemudian membantu paru-paru pesakit mengembang dan menguncup untuk bernafas.

Mesin berkenaan dicipta pada 1920-an sebelum penggunaannya berkurangan selepas penciptaan vaksin polio oleh Jonas Salk. Vaksin itu digunakan secara meluas selepas semakin mudah didapati bermula sekitar 1955.

Dalam pada itu, mendiang turut memegang rekod dunia Guinness sebagai pesakit polio paling lama yang bergantung dengan paru-paru besi itu.

Memetik maklumat pada laman Guinness, mendiang dilapor boleh meninggalkan mesin itu untuk satu tempoh tertentu selepas belajar teknik pernafasan dikenali sebagai frog breathe. Teknik berkenaan dipelajari hasil bantuan ahli terapi fizikalnya.

Teknik itu melibatkan penggunaan otot lehernya untuk ‘memaksa’ udara masuk ke paru-paru, seperti menelan udara penuh dalam mulut dalam satu-satu masa. Selepas itu, mendiang dikatakan hanya menggunakan mesin tersebut pada waktu malam ketika hendak tidur sahaja.

Dengan pemergian Alexander, Martha Lillard yang berusia 75 tahun dan berasal dari Oaklahoma, Amerika Syarikat dipercayai adalah pesakit polio terakhir yang bergantung dengan paru-paru besi.

BACA: 10 Gajet ‘Jatuh’ Harga Sepanjang Ramadan, Berbaloi Beli Untuk Raya

Sumber: AFP, BBC

Athirah

When nothing goes right, go left.