Tarikh Pengambilan Calon Guru Tajaan KPM Bagi Latihan Praperkhidmatan PDPP Ditangguh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan tarikh bagi pengambilan calon guru tajaan KPM bagi Latihan Praperkhidmatan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) untuk tahun 2024 ditangguh buat seketika.
Pihak KPM telah membuat pengumuman mengenai perkara tersebut menerusi laman Facebook semalam.
Menerusi pengumuman tersebut, pihaknya akan memaklumkan tarikh permohonan bagi pengambilan calon guru pada masa akan datang.
https://www.facebook.com/KemPendidikan/posts/pfbid02ZbChb6pwT34PttwcKaeSYqqjCsJHHdTABLjmhrN8PTe7cdDfJgWXDdX8DNf22rGwl
Berdasarkan laman web myPDPP, tarikh permohonan pada 14 Mac 2024 iaitu, hari ini telah ditunda atas sebab-sebab tertentu.
“Harap maklum bahawa tarikh permohonan pada 14 Mac 2024 telah ditunda pada satu tarikh lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Tarikh baharu permohonan dibuka akan dimaklumkan kemudian,” tulisnya pada laman sesawang.
Sehubungan itu, pihak yang berminat untuk memohon disarankan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan permohonan ini agar tidak terlepas.
“Pemohon dinasihati untuk sentiasa menyemak tarikh-tarikh terkini pengambilan dari semasa ke semasa,” katanya.
Untuk makluman, Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) ini ditujukan kepada graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda tanpa Pendidikan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda TANPA Pendidikan yang berkelayakan, berpotensi dan berminat untuk mengikuti PDPP di Institut Pendidikan Guru, KPM,” katanya.
Permohonan bagi program ini terbuka bagi graduan yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dari mana-mana universiti awam di Malaysia dalam bidang yang ditetapkan dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Selain itu, graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dari universiti swasta di Malaysia dan luar negara dalam bidang yang ditetapkan serta diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut dipelawa untuk memohon program ini.
Mod pengajian bagi program diploma pascasiswazah ini bersifat sepenuh masa dan tempoh pengajian adalah satu tahun iaitu, tiga semester.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web di pautan https://mypdpp.moe.gov.my bagi mendapatkan panduan bagi permohonan program ini.
BACA: Rindu Suasano Kelate? Secret Recipe Tawar Menu Istimewa Ramadan Untuk Ubati Rindu Anda
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) via Facebook